DuniaSemasa

Pesawat China Eastern bawa 132 penumpang terhempas

BEIJING : Kesemua 132 penumpang yang terlibat dalam tragedi pesawat Syarikat Penerbangan China Eastern terhempas di selatan China hari ini dilaporkan terkorban, namun punca nahas masih dalam siasatan.

Syarikat Penerbangan China Eastern merakamkan ucapan takziah kepada mangsa yang terlibat dalam insiden pesawat Boeing 737-800 itu terhempas di kawasan luar bandar berhampiran bandar Wuzhou di wilayah Guangxi itu.

“Syarikat merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada penumpang dan anak kapal yang terkorban dalam nahas pesawat,” kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Saham Shanghai.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu tidak mendedahkan butiran mengenai jumlah orang yang terbunuh.

Media tempatan melaporkan, pesawat MU5735 itu tidak tiba di destinasi yang dijadualkan di Guangzhou sejurus berlepas dari bandar Kunming selepas pukul 1 petang waktu tempatan.

Jabatan bomba Wuzhou telah mengerahkan 117 anggota dan 23 trak bomba ke lokasi kejadian.

Seramai 538 anggota bomba dari wilayah Guangxi turut dihantar bagi menyertai operasi menyelamat.

Kebakaran berjaya dipadamkan dan operasi menyelamat sedang dijalankan, kata pegawai jabatan pengurusan kecemasan wilayah, Chen Jie.

Setakat ini, pihak China Eastern Airlines masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai insiden berkenaan.

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button