Semasa

Pesanan untuk mereka yang susah tersenyum

Sempena hari senyuman sedunia

Senyum untuk sesetengah orang adalah sangat mudah. Hanya seperti membalikkan tapak tangan. Namun, untuk sesetengah orang pula, senyum adalah sesuatu yang sukar, seperti mahu membalikkan batu seberat satu tan. Mereka boleh senyum, namun untuk senyum secara spontan ia tidak mudah. Terlalu sukar.

Mereka yang sukar tersenyum, perlu merancang bila waktu mereka mahu senyum, dan terkadang perlu berlatih untuk senyum di hadapan cermin. Jadi untuk yang mudah tersenyum, bersyukurlah kerana anda dikurniakan nikmat yang sangat besar.

Walaupun mungkin anda berkata, hanya bibir yang tersenyum tetapi hati menangis, tetap ia lebih bagus daripada sesetengah orang yang mungkin hati tersenyum, tetapi wajahnya mencuka. Ataupun mereka memaksa diri tersenyum, tetapi ia kelihatan janggal dan menimbulkan salah faham. Atau seperti kata anak-anak zaman sekarang, cringe atau awkward.

Untuk yang sukar tersenyum, biasanya bukan kerana tidak mahu tersenyum tetapi ada beberapa alasan yang membuatkan mereka tidak yakin untuk tersenyum.

Antaranya kerana fizikal. Sama ada rongak, punyai masalah gummy smile, ataupun kerana jongang. Ada juga disebabkan tidak pandai bergaul sehingga tidak pasti bila masa yang sesuai untuk tersenyum.

Untuk mereka yang sukar untuk tersenyum, berikut adalah antara motivasi supaya selepas ini lebih yakin untuk tersenyum.

Pertamanya, sentiasa ingatkan diri kita bahawa senyuman itu adalah sedekah. Sama nilainya dengan sedekah wang ringgit. Malah ada hadis yang berkisah tentang sedekah dengan senyuman.

Dari Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu, Rasululllah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Senyummu di hadapan saudaramu (sesama muslim) adalah (bernilai) sedekah bagimu” (HR. Tirmidzi, Ibnu Hibban).

Senyuman juga adalah antara cara paling mudah bagi melaksanakan sunnah Nabi Muhammad SAW. Ketika sukar mahu tersenyum, pujuk hati bahawa ia adalah sunnah Nabi, dan niat kita adalah mahu mendapatkan pahala sunnah.

Ini bertepatan dengan hadis, seorang sahabat mulia Abdullah bin Harits radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: “Tidaklah aku melihat seorang pun yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam.” (HR Ahmad dan Tirmidzi).

Sekiranya merasakan susah senyum kerana fikiran terlalu berserabut dan banyak perkara yang mahu difikirkan, sentiasa ingat bahawa senyuman adalah cara paling mudah bagi meringankan beban fikiran. Paksa diri untuk senyum kerana ia adalah antara ubat fikiran stres.

Inilah yang diajarkan oleh Rasullullah SAW berdasarkan hadisnya, “Janganlah kamu terlalu membebani jiwamu dengan segala keseriusan hidup. Hiburkanlah dirimu dengan hal-hal yang ringan dan lucu kerana jika jiwa terus dipaksa memikul beban-beban yang berat ia akan menjadi keruh.” (HR. Ibnu Majah)

Sentiasa ingat bahawa senyuman juga adalah antara cara bagi menambahkan daya tarik diri. Apabila kita tersenyum segala kekurangan fizikal yang kita miliki seperti rongak atau gummy smile akan hilang, kerana senyuman itu lebih manis kesannya kepada penerima senyuman.

Senyuman juga boleh membuatkan orang terpesona kepada kita, tanpa kita perlu mengeluarkan suara ataupun wang. Namun caranya perlu tepat.

Menurut buku How To Talk To Anyone, tulisan Leil Lowndes, jangan terus melemparkan senyuman sebaik kita bertemu dengan seseorang. Sebaiknya, pandang wajah mereka selama beberapa saat, pandang seperti anda mahu menyelami hati mereka, dan selepas itu barulah berikan senyuman lebar yang mesra. Senyuman yang memenuhi wajah kita dari bibir sehingga ke mata.

Teknik ini dipanggil, penangguhan senyuman, dan teknik ini banyak digunakan oleh tokoh-tokoh wanita di seluruh dunia bagi menebarkan pesona mereka di khalayak yang didominasi oleh lelaki.

Jadi, selepas ini sekiranya kita merasakan senyum adalah sesuatu yang sukar, sentiasa ingat bahawa senyuman bukan sekadar mahu mengambil hati, tetapi ia jauh lebih besar daripada itu. Senyuman adalah pahala, dan senyuman juga adalah ‘kosmetik’ yang paling murah tetapi paling mujarab bagi membuatkan diri kita kelihatan sentiasa berseri-seri.

Senyumlah 🙂

Related Articles

Back to top button