KerohanianSemasa

Perumpamaan minuman syurga dan neraka

Oleh Hafiz Hanafiah, wartawan pelatih

 

Air merupakan bahan kedua terpenting dalam tubuh manusia selepas oksigen. Malah, lebih 60 peratus daripada tubuh manusia terdiri daripada air. Cecair ini mempunyai pelbagai fungsi penting dalam memastikan tubuh sentiasa sihat dan cergas.

Air juga merupakan sumber minuman kepada manusia. Tetapi, tahukah kita bahawa apabila kita berada di alam akhirat, apa yang akan diminum oleh penghuni syurga dan neraka.

Perkara tersebut diceritakan di dalam Surah Muhammad ayat 15. Firman Allah S.W.T:

مَّثَلُ ٱلۡجَنَّةِ ٱلَّتِي وُعِدَ ٱلۡمُتَّقُونَۖ فِيهَآ أَنۡهَٰرٞ مِّن مَّآءٍ غَيۡرِ ءَاسِنٖ وَأَنۡهَٰرٞ مِّن لَّبَنٖ لَّمۡ يَتَغَيَّرۡ طَعۡمُهُۥ وَأَنۡهَٰرٞ مِّنۡ خَمۡرٖ لَّذَّةٖ لِّلشَّٰرِبِينَ وَأَنۡهَٰرٞ مِّنۡ عَسَلٖ مُّصَفّٗىۖ وَلَهُمۡ فِيهَا مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ وَمَغۡفِرَةٞ مِّن رَّبِّهِمۡۖ كَمَنۡ هُوَ خَٰلِدٞ فِي ٱلنَّارِ وَسُقُواْ مَآءً حَمِيمٗا فَقَطَّعَ أَمۡعَآءَهُمۡ١٥

Bermaksud: “Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur?”

 

PANDANGAN ULAMA’ TERHADAP AYAT

Menurut Wahbah az-Zuhaili, pengarang kitab Tafsir al-Munir, Allah S.W.T membandingkan dua jenis balasan orang-orang mukmin yang bertakwa dan dua jenis balasan orang-orang kafir yang zalim.

Ini adalah kerana ianya menerangkan betapa jauh perbezaan antara sesuatu yang menjadikan orang senang dengan sesuatu yang menjadikan seseorang itu takut.

Minuman orang-orang yang bertakwa bersumber dari empat sungai iaitu sungai seperti air, sungai susu, sungai khamr (arak) yang lazat dan tidak memabukkan, dan sungai madu. Sedangkan makanan mereka adalah berbagai macam buah-buahan yang berjenis.

Manakala minuman penghuni neraka pula adalah air yang sangat panas dan mendidih yang menyebabkan usus mereka terpotong-potong.

Ketika air itu didekatkan, wajah mereka menggelembung disebabkan air tersebut, kulit kepala dan rambut mereka pun berjatuhan.

Ketika mereka meminumnya, air tersebut memotong-motong usus yang dikeluarkan dari anus mereka. Air tersebut tidak hanya panas, kerana jika sekadar panas, ia tidak dapat memotong-motong, namun itu adalah air panas khusus yang dapat memotong-motong.

Penduduk syurga, selain mendapatkan apa yang telah disebutkan, mereka juga mendapatkan maghfirah iaitu keampunan atas dosa-dosa mereka dan reda Allah.

Sedangkan penduduk neraka mendapat pelbagai cacian dan murka daripada Allah, hinaan, kecaman serta ancaman.

Penduduk syurga kekal di dalam syurga dalam keadaan yang bersuka-ria, dan tenang dalam menikmati segala kenikmatan. Sedangkan penduduk neraka kekal di dalam neraka dalam keadaan terhina sehinggakan terbakar kerana panasnya api yang terus menyala.

Ibnu Kisan mengatakan, “Maksud ayat ini adalah, adakah gambaran syurga yang di dalamnya terdapat buah-buahan dan sungai-sungai sama seperti neraka yang di dalamnya terdapat air yang sangat panas dan Zaqqum (buah berduri)! Adakah gambaran penduduk syurga di dalam kenikmatan dan kesenangan sama seperti gambaran penduduk neraka di dalam azab yang pedih lagi menyeksakan!” Al-Farra mengatakan, “Maksudnya, adakah orang yang kekal dalam kenikmatan dan ini sama seperti orang yang kekal dalam neraka!”

 

Kesimpulannya, kita sebagai hamba Allah S.W.T mestilah sentiasa mengambil iktibar daripada ayat-ayat al-Quran khususnya ayat yang menceritakan ancaman api neraka. Kesannya kita akan sentiasa takut kepada Allah S.W.T dan taat dengan perintah-Nya. Contohnya, apabila kita ingin membuat sesuatu kemungkaran, kita mesti akan berasa takut kerana Allah S.W.T maha melihat. Wallahua’lam.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button