
KUALA LUMPUR : Saban tahun pertukaran guru menjadi antara topik hangat dalam kalangan guru. di Malaysia. Ia adalah antara cara bagi guru berpindah sekiranya permohonan melalui perpindahan tidak berjaya.
Walaupun sudah ada sistem e-tukar, namun ramai yang menganggapnya masih kurang efisien. Atas sebab itu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih terus mengkaji dan mencari cara yang sesuai.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata kementeriannya sedar isu permohonan pertukaran guru telah berlarutan bertahun lamanya.
“Dari pagi tadi saya meneliti dokumen dan juga berbincang berkaitan hal pertukaran guru ini. Insya-Allah, KPM akan terus ikhtiarkan yang terbaik demi masa depan pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik melalui laman Facebook rasminya hari ini.
Beliau menambah perkara yang penting dalam menimbang permohonan pertukaran guru adalah memastikan pembelajaran murid tidak terjejas.
“Ini bermaksud kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran di negeri dan tempat yang dimohon merupakan pertimbangan utama,” katanya.
— BERNAMA