Pertimbang vaksinasi kepada pekerja asing tanpa dokumen
Capai efektif imuniti kelompok secara keseluruhan
KUALA LUMPUR : Kerajaan digesa mempertimbangkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada pekerja tanpa dokumen bagi mencapai imuniti kelompok dalam komuniti berkenaan.
Menurut Ahli Parlimen, Ipoh Barat, M Kula Segaran ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini, imuniti kelompok tidak akan efektif jika individu tanpa dokumen dipinggirkan daripada menerima suntikan kerana golongan ini mempunyai risiko lebih tinggi untuk dijangkiti.
Kula menekankan tindakan mengasingkan pekerja tanpa dokumen untuk mendapat vaksin adalah tidak adil dalam situasi pandemik semasa.
“Alternatif terbaik adalah pengampunan secara umum untuk migran tanpa dokumen dan memulakan usaha vaksinasi kepada golongan ini secara bergerak keseluruh negara melalui kerjasama persatuan masyarakat.
” Pengampunan ini bersifat sebagai langkah sementara dengan meneliti punca mereka ini tidak mempunyai dokumen dan peranan mereka dalam ekonomi negara.” katanya.
Mengulas lanjut, laporan terkini menunjukkan sebanyak 15 daripada 26 kluster Covid-19 dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai kluster tempat kerja.
” Terdapat ramai pekerja tanpa dokumen yang bekerja di kilang-kilang. Mereka juga biasanya tinggal dalam keadaan sesak, sekali gus menjadikan golongan ini lebih berisiko tinggi.” jelas beliau.
Kula menambah vaksinasi bukan hanya dapat menyelamatkan nyawa, malah, dapat mengurangkan kos bagi sistem kesihatan dan membantu negara untuk menamatkan sekatan pergerakan yang memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat.
-BERNAMA