BanjirSemasa

Persekutuan & Negeri bekerjasama bantu mangsa banjir

Bukan sahaja di pusat pemindahan tetapi sehingga pulang ke rumah semula

KUALA LUMPUR : Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama bagi memastikan kebajikan mangsa banjir tidak hanya terbatas dari segi penyediaan bekalan keperluan harian ketika berada di pusat pemindahan sementara (PPS) saja.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebaliknya usaha itu perlu diteruskan sehingga satu tempoh yang sesuai selepas mereka pulang ke rumah masing-masing.

“Hal sama turut membabitkan aspek lain seperti membaik pulih kediaman mereka yang rosak dan langkah ini untuk memastikan mangsa tidak terus berada dalam keadaan trauma akibat musibah,” – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tan Sri Muhyiddin berkata demikian  menerusi catatan di laman Facebook beliau.

Beliau yang hari ini meninjau keadaan banjir selain menyantuni mangsa di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh di Temerloh dan SMK Tengku Ampuan Afzan, Chenor, Maran berkata, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi kerajaan negeri serta Persekutuan diminta untuk segera menumpukan usaha membaik pulih infrastruktur yang rosak teruk akibat banjir seperti jalan raya, masjid dan sekolah.

“Alhamdulillah mereka baik-baik saja, malah ada yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan PPS dengan kemudahan memuaskan di samping petugas yang sentiasa memastikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan COVID-19,” katanya.

Tambahnya beliau mengarahkan pengurusan PPS dan  supaya menyediakan dua khemah kepada keluarga yang mempunyai lebih daripada enam ahli bagi menjamin keselesaan kepada mereka sepanjang berada di pusat penempatan itu.

Menerusi catatan itu, Perdana Menteri turut mendoakan semua mangsa banjir seluruh negara terhindar daripada sebarang penyakit dan pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan sihat. – BERNAMA

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button