Semasa

Permohonan bantuan khairat kematian rakyat Selangor akibat Covid-19 dibuka hari ini

SHAH ALAM : Permohonan bantuan khairat kematian berjumlah RM 1,000 kepada rakyat Selangor yang meninggal dunia disebabkan COVID-19 mula dibuka hari ini.

Hal ini selaras dengan inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari pada 9 Jun lalu.

Pejabat Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita & Keluarga Negeri Selangor memaklumkan sebanyak 1,500 keluarga bakal menerima manfaat daripada inisiatif ini dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM 1.5 juta.

Katanya, permohonan bagi bantuan ini akan dibuka bermula hari ini sehingga 12 Ogos depan menerusi laman sesawang https://www.selangorprihatin.com.

“Syarat-syarat permohonan adalah pemohonan mestilah warganegara Malaysia dan pemohon (waris terdekat) dan juga yang meninggal dunia (si mati) merupakan anak kelahiran Selangor melebihi 10 tahun.

“Individu yang disahkan meninggal dunia berpunca daripada Covid-19 oleh hospital atau klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar dan dinyatakan secara jelas dalam surat kematian.

“Meninggal dunia di Selangor pada tahun ini dan terhad kepada satu permohonan bagi satu keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyaluran bantuan akan dikreditkan terus ke akaun waris dalam tempoh 14 hari bekerja dan tarikh kelulusan permohonan sekiranya maklumat permohonan yang diterima adalah lengkap.

Sebarang pertanyaan mengenai bantuan ini boleh disalurkan menerusi talian hotline 24 jam, 1-800-22-6600.

Oleh Pelatih Hafeez Anuar (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button