DuniaSemasa

Penunjuk perasaan antikerajaan Thailand bertempur dengan polis

BANGKOK : Ribuan penunjuk perasaan antikerajaan Thailand bertempur dengan pasukan polis dalam satu protes terhadap kerajaan susulan gagal mengawal Covid-19 di negara mereka.

Mereka berarak ke Rumah Kerajaan, pejabat Perdana Menteri Prayut Chan-Ocha bagi mendesak beliau untuk meletakkan jawatan.

Sementara itu, polis menutup jalan berdekatan Monumen Kemenangan dan bertindak melepaskan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah selepas penunjuk perasaan tidak mengendahkan amaran supaya bersurai.

Penunjuk perasaan turut melemparkan botol air, batu dan mercun sebagai serangan balas ke arah pihak berkuasa.

Sejak pertengahan Julai tahun lalu, kumpulan antikerajaan telah melakukan demonstrasi di Bangkok dan beberapa bandar raya lain.

Mereka mengulangi tuntutan pembaharuan politik, termasuk perdana menteri meletakkan jawatan, pembubaran parlimen, pindaan perlembagaan dan reformasi monarki.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatat 21,838 kes baharu Covid-19 dan 212 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan setakat ini sebanyak 736,522 dan korban seramai 6,066.

-BERNAMA

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button