Semasa

Perluas gelembung pelancongan antarabangsa

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang memaklumkan sektor pelancongan selain Langkawi juga berada dalam situasi yang sukar dan perlu diberi perhatian.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pelancong asing juga dibenarkan berada di negeri yang mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

“Malaysia boleh menjalin kerjasama dengan negara ASEAN memandangkan Malaysia menjadi destinasi utama bagi pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei.

“Perkara utama yang perlu dilakukan adalah pelancong ini tidak bersendirian, sebaliknya datang dengan ejen bertauliah yang akan mengatur dan menguruskan perjalanan ke lokasi yang ditetapkan sahaja.

“Mereka membuat jalinan pengurusan risiko bersama negara yang ‘hijau’, malah pembukaan lokasi yang mempunyai kadar vaksinasi tinggi serta komuniti dua dos untuk dilawati pelancong asing,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Pada 22 Oktober, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi.

Katanya, pelancong antarabangsa yang berhasrat memanfaatkan gelembung pelancongan antarabangsa itu perlu memenuhi syarat dan mematuhi SOP seperti dibentangkan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC).

Mengulas lanjut, Kok Liang berkata, pendekatan menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis pelancongan antarabangsa adalah bagus kerana gelembung pelancongan domestik ke pulau itu yang dilakukan kerajaan baru-baru ini, ternyata membuahkan hasil.

“Kita dapat lihat bagaimana Pulau Langkawi pulih dengan pembukaan pelancongan domestik, malah cara pengendalian yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya mengawal jangkitan,” katanya.

Dalam usaha mengembalikan kerancakan industri pelancongan negara, Kok Liang berkata, MATTA akan kembali menganjurkan pameran MATTA Fair pada 20 dan 21 November depan.

“Melalui penganjuran ini, beberapa langkah atau program yang akan diatur oleh MATTA khususnya berkaitan kajian pengembara Malaysia sewaktu pasca COVID-19. Kita harap kajian ini akan menjadi petunjuk untuk masa hadapan industri pelancongan negara,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button