KepenggunaanSemasa

Perlu ke berbelanja sakan untuk Aidilfitri?

Tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 2023 masih belum sahih sama ada Jumaat atau Sabtu akan datang sehinggalah selesai proses melihat anak bulan Syawal yang ditetapkan pada petang Khamis esok, 20 April 2023 bersamaan 29 Ramadan 1444H.

Tidak kisah Hari Raya jatuh pada Jumaat atau Sabtu, keterujaan umat Islam di Malaysia untuk menyambut 1 Syawal tetap meriah seperti biasa, lagu-lagu Hari Raya era 80an-90an juga yang terkini turut kedengaran di corong-corong radio.

Dari pengamatan Ummah Today, hanya mereka yang berjiwa kental sahaja sesuai berada di kompleks membeli belah, butik dan bazar hari raya pada waktu kini kerana perlu banyak bersabar dan tabah mengharungi kesesakan orang-ramai yang membeli belah di sana.

Keadaan sudah mula sesak di kompleks membeli-belah, butik dan bazar hari raya dan banyak juga promosi raya yang dibuat oleh kedai-kedai pakaian daripada pelbagai jenama.

Di sebalik kemeriahan umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri, pada sisi lainnya, kita perlu memikirkan berkaitan kadar perbelanjaan yang kita lakukan, adakah ianya sesuai dengan kemampuan kewangan kita dan perlukah kita berbelanja sakan untuk Aidilfitri?

Dalam temubual yang dibuat media bersama seorang Perancang Kewangan Berlesen, Zulkhairi Zulkifli, beliau berkata tidak salah untuk kita meraikan hari raya dengan meriah, tetapi jangan sampai menjerat diri dalam hutang demi memenuhi kehendak diri.

“Perbelanjaan tanpa perancangan dikhuatiri akan menyebabkan anda terjerat dengan hutang dalam tempoh yang lama dan lebih parah ia berlanjutan sehingga hari raya akan datang.”

Zulkhairi Zulkifli, Perancang Kewangan Berlesen

“Kita bukan sahaja perlu berbelanja untuk hari raya, tetapi juga hari-hari seterusnya. Jangan sampai pokai dan hidup susah dikemudian hari,” katanya.

Oleh itu, beliau yang juga mempunyai sijil Certified Financial Planner (CFP) sejak 2020 itu turut memberikan lima tip penting untuk menjadi panduan kepada orang ramai ketika berbelanja sempena lebaran ini.

1. Buat bajet raya

“Kerajaan setiap tahun mempunyai bajet, begitu juga syarikat tempat kita bekerja mempunyai bajet takkan kita sendiri tidak mempunyai bajet. Peruntukan 30 peratus daripada gaji bulanan untuk digunakan sebagai perbelanjaan persiapan hari raya.”

“Sebagai contoh, jika gaji bersih sebanyak RM2,500 maka, bajet raya anda ialah RM750 dan jadikan ia sebagai panduan perbelanjaan,” terangnya.

2. Senarai barang

“Buat senarai barangan asas yang perlu dibeli dan pastinya yang pertama ialah pakaian raya. Sekiranya baju raya tahun lepas masih elok, lebih baik gunakannya dahulu”

“Tetapi kalau ingin juga membeli yang baharu, cuba dapatkan tawaran pakej ibu bapa dan anak kerana ia lebih jimat. Contohnya, jika anda mempunyai tiga orang anak dan termasuk ibu bapa maka, kos baju raya adalah sebanyak RM400.”

“Selepas digunakan untuk beli pakaian raya, bajet raya anda masih berbaki RM350. Baki itu boleh digunakan untuk membeli barangan juadah ringkas untuk menjamu selera sebelum solat hari raya dan selepas solat dengan membelanjakan sebanyak RM200.”

Zulkhairi juga memberitahu, baki duit tersebut yang berjumlah RM150 boleh digunakan untuk memberi duit raya.

3. Bajet kecemasan

“Anda boleh menggunakan bajet kecemasan sekiranya peruntukan gaji sebanyak 30 peratus itu tidak mencukupi.”

4. Semak kembali senarai yang dibuat

Buat semakan senarai perbelanjaan raya itu bersama pasangan atau rakan yang disiplin dalam merancang kewangan. Objektif semakan itu ialah untuk mendapatkan pandangan kedua.

Pastikan proses membuat semakan tersebut dibuat ketika diri berada dalam keadaan tenang dan perut kenyang kerana ketika lapar banyak keputusan yang tidak rasional bakal dibuat. Ini bertujuan menguruskan faktor emosi yang boleh mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat.

5. Jangan berhutang

Elakkan berhutang atau menggunakan perkhidmatan beli sekarang bayar kemudian, meminjam dengan ah long dan menangguhkan bayaran pinjaman demi membeli barangan dikehendaki.

Jangan mengambil jalan mudah dengan menangguhkan bayaran pinjaman itu kerana rekod bayaran anda tidak akan cantik dan terpaksa membayar dua kali ganda baki tertangguh itu.

Tidak berbaloi kita melakukan hal sedemikian hanya semata-mata untuk seronok beraya, tetapi hidup merana. Sebaiknya, guna wang yang ada di tangan dengan cermat dan bijaksana.

Related Articles

Back to top button