ARAU : Perlis membenarkan semua masjid merapatkan saf ketika solat berjemaah yang akan berkuatkuasa bermula solat Subuh esok.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setelah meneliti perkembangan semasa Covid-19 di negeri ini, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail memberi limpah perkenan terhadap keputusan tersebut.
“Sukacita dimaklumkan, kebenaran bersyarat amalan merapatkan saf solat berjemaah di masjid seluruh Perlis, berkuat kuasa pada Subuh 8 Januari ini, iaitu Sabtu sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Kebenaran ini adalah kepada semua masjid di seluruh Perlis sahaja, manakala surau atau tempat solat umum atau awam kekal tidak dibuka (solat berjemaah merapatkan saf).
Melalui kenyataan itu, solat dengan merapatkan saf memerlukan jemaah mematuhi beberapa peraturan seperti kadar jarak sejadah masing-masing adalah berdasarkan saiz sejadah standard dan tidak berlaku sentuhan fizikal.
“Pematuhan SOP masih perlu diteruskan seperti kekal melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter, memakai pelitup separuh muka dan digalakkan pelitup muka jenis N95 atau K95 serta memakai dua pelitup muka atau ‘double face mask’ yang ditambah baik dengan pemakaian pelindung muka atau ‘face shield’.
“Selain itu, jemaah masih perlu membawa sejadah sendiri bersaiz standard, mengambil wuduk sebelum ke masjid, mengimbas suhu badan dan merekodkan penjejakan sosial dengan mengimbas Kod QR aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan,” titah baginda.
Baginda bertitah, pematuhan terhadap SOP masih diperketatkan dan tidak dibenarkan sebarang kontak sentuhan fizikal seperti bersalaman.
“Jemaah yang menerima suntikan vaksin lengkap, sama ada dewasa, kanak-kanak atau warga emas dibenarkan hadir ke masjid.
“Namun, pegawai bertugas dan jemaah kekal dilarang hadir ke masjid sekiranya terdiri daripada golongan seperti berstatus PUI (individu di bawah siasatan), PUS (pesakit dalam pemantauan) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.
“Malah, golongan yang mempunyai gejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak, selesema dan sebagainya juga dilarang hadir ke masjid.
“Semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah termasuk jamuan adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP kesihatan dan keselamatan yang berkuatkuasa, “titah Tuanku Syed Faizuddin
Dalam pada itu, Raja Muda Perlis berharap agar seluruh rakyat negeri ini sentiasa mematuhi segala SOP dan ketetapan yang diperkenankan berkenaan.