PendidikanSemasaSyariah

Perkara Penting Yang Perlu Anda Tahu Mengenai Faraid

Pernahkah anda terfikir, apabila berlaku kematian dalam ahli keluarga kita, dan si mati meninggalkan harta, bagaimanakah proses pembahagian harta ini dilaksanakan menurut Islam?

Seperti yang kita tahu, Islam adalah agama yang sempurna, dan sudah menetapkan peraturan untuk setiap perkara dalam kehidupan. Ini termasuklah dalam pembahagian harta.

Dalam Islam, antara cara pembahagian harta adalah Faraid. Ilmu faraid merupakan ilmu pembahagian harta yang sangat penting dalam Islam dan Rasullah SAW meletakkan ilmu faraid ini sebagai ilmu yang sejajar dengan tuntutan mempelajari al-Quran.

Faraid adalah pembahagian harta pusaka orang islam yang telah meninggal dunia, yang sepatutnya diterima oleh mereka yang berhak menurut hukum syarak.

Terdapat ayat dalam al-Quran yang menyeru umat Islam menguruskan harta pusaka seperti yang terkandung dalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud :

“Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma’ruf, (ini adalah) kewajiban atas orang-orang yang bertakwa.”  (Surah Al-Baqarah 2:180)

Justeru itu, pembahagian faraid boleh dilaksanakan sekiranya ada ahli keluarga yang meninggal dunia dan si mati meninggalkan harta bersamanya. Sekiranya,  si mati tidak memiliki harta, pembahagian harta melalui kaedah faraid ini tidak boleh dilakukan. Selain itu, jika seseorang itu meninggal dunia dan mempunyai waris, waris tersebut layak untuk menerima harta si mati mengikut hukum syarak.

Sebagai contoh, ayah meninggal dunia disebabkan oleh  kemalangan jalan raya. Oleh itu, si mati ini meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak. Mengikut hukum faraid, isteri dan dua orang anak si mati layak menerima harta.

Dalam situasi pembahagian harta si mati, ada beberapa jenis harta yang boleh diagihkan secara faraid, seperti tanah, banggunan, barang kemas, wang tunai, dan binatang ternakan.

Misalnya, si mati meninggalkan harta seperti sebidang tanah dan sebuah rumah, kedua-dua harta tersebut perlu di agihkan secara faraid dan diberikan kepada waris yang layak.

Sistem pembahagian harta secara faraid ini sangat digalakkan dalam islam, ini kerana Islam sangat mengamalkan konsep keadilan dalam pembahagian harta.

Perihal pembahagian harta pusaka boleh menjadi perkara yang sensitif dalam kalangan masyarakat terutama dalam ahli keluarga dan waris. Oleh itu, pengurusan yang bijak dan telus dalam pembahagian harta pusaka dapat membendung isu perebutan harta yang berlaku pada masa kini.

 

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button