‘Perjuangan rakyat Palestin juga adalah perjuangan umat Islam’
ISTANBUL : Imam Besar di Universiti Al-Azhar, Mesir, Ahmed al-Tayeb, semalam mengulangi pernyataan bahawa perjuangan rakyat Palestin juga adalah perjuangan utama umat Islam.
“Perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan utama Al-Azhar serta umat Islam… dan kegetiran perjuangan rakyat Arabnya akan kekal menjadi sumber kebanggaan serta inspirasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Hakim Syarie Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud al-Habbash yang juga penasihat kepada Presiden Mahmoud Abbas mengenai hal ehwal agama dan Islam, lapor Agensi Anadolu yang memetik laporan agensi berita Mesir, MENA.
Sementara itu, Al-Habbash pula berkata, usaha serta pendirian Al-Azhar yang berterusan mendukung perjuangan Palestin, adalah dihargai dan dihormati.
Semalam, Jabatan Wakaf yang menyelia Masjid Al-Aqsa, memaklumkan kira-kira 300 penduduk Israel menyerbu kawasan masjid itu dengan dilindungi pasukan tentera Israel.
Beberapa kumpulan pelampau Yahudi dilaporkan telah meminta penduduk terbabit memasuki Al-Aqsa untuk meraikan cuti Yom Kippur Yahudi.
– BERNAMA