KerohanianSemasa

Perginya dalam husnul khatimah selepas selesai solat berjemaah

TEMERLOH: Terus tular hari ini kisah pemergian seorang jemaah lelaki dalam keadaan husnul khatimah sebaik selepas selesai menunaikan solat Asar di Masjid Paya Luas di negeri Pahang pada Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira jam 4:51 petang itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di dalam ruangan solat masjid yang memaparkan lelaki itu berada dalam tahiyat akhir namun dalam keadaan menahan kesakitan sewaktu dan selepas jemaah selesai menunaikan solat.

Menurut nukilan anaknya melalui Facebook Nur Qaseh, bapanya, Haji Abd Rahman Rapie, 64, sempat menyempurnakan solat Asar sebelum dikerumuni jemaah lain yang bimbang melihat keadaannya.

“Ayah sedang solat Asar di masjid, ayah tiba-tiba pengsan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh (HOSHAS)”.

“Ayah mengalami pendarahan otak, sebelum ini ayah sudah ada penyakit darah tinggi,” katanya dalam hantaran itu.

Allahyarham Abd Rahman Rapie dilaporkan menghembus nafas terakhirnya pada 21 Ogos, jam 9:17 malam dan jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Paya Luas.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Hassanuddin Salim mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham.

“Saya menyaksikan beliau seorang yang baik, tidak banyak bercakap bila bertemu pasti sapaan dan senyum mesra arwah mendahului pertemuan kami”, tulis Hassanuddin pada laman media sosial rasminya.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button