Pentadbiran Presiden Palestin kecam pembunuhan pemuda Palestin oleh Israel
RAMALLAH : Pentadbiran Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, mengecam pembunuhan seorang pemuda Palestin menurut laporan media pada Sabtu lalu.
Agensi berita rasmi Palestin Wafa melaporkan bahawa Mohammad Shawkat Salima, 25, terbunuh Sabtu di sekitar plaza Gerbang Damsyik di Baitulmaqdis.
“Kekejaman terbaru adalah kesinambungan pencerobohan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin, yang tidak sepatutnya dibiarkan,” katanya.
Pejabat itu juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan segera bagi menghentikan kekejaman Israel, mempertahankan rakyat Palestin, menamatkan pendudukan dan menubuhkan Negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya, tambahnya.
Video yang menunjukkan polis Israel melepaskan tembakan ke arah Salima, yang terbaring di atas jalan, dikongsi secara meluas di media sosial.
Bulan Sabit Merah Palestin berkata, pasukan keselamatan Israel tidak membenarkan pasukan perubatan campur tangan untuk membantu orang yang cedera dan tiga rakyat Palestin cedera ringan semasa pertempuran dengan polis Israel.
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM