PUTRAJAYA : Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia dan Singapura digantung sementara.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penggantungan itu berkuatkuasa bermula esok hingga 20 Januari 2022.
Menurut beliau, keputusan tersebut diambil berikutan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu berhubung satu kluster tempatan Covid-19 kemungkinan varian Omicron.
“Dua dairpada tiga kes positif menunjukkan kemungkinan varian Omicron berdasarkan hasil ujian yang telah dilaksanakan dan mereka tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara,” katanya.
Mengulas lanjut, pengambara boleh meneruskan perjalanan bagi yang telah memiliki tiket perjalanan bagi VTL darat dan udara serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah inisiatif VTL itu.
Khairy Jamaluddin berkata, selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara, penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua insiatif VTL itu akan dibuka semula pada 21 Januari 2022.