Semasa

Penjawat awam enggan vaksin boleh dikenakan tindakan tatatertib : KSN

LABUAN : Seluruh penjawat awam digesa untuk patuh kepada pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan mereka yang enggan memberi kerjasama menerima vaksin boleh dikenakan tindakan tatatertib.

“Kalau mengikut pekeliling dan dari segi peraturan, penjawat awam harus patuh dengan apa yang telah diputuskan oleh pihak ketua jabatan masing-masing.

“Dalam konteks ini, memang akan ada tindakan mungkin diambil sekiranya mereka masih enggan untuk divaksin.

“Jadi, pada kesempatan ini, saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk memberikan kerjasama memastikan diri mereka lengkap divaksinasi sebelum tarikh yang ditetapkan oleh JPA,” katanya.

Mohd Zuki berkata, semua pejabab kerajaan akan beroperasi semula berikutan peralihan ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagi mengelakkan ketidakselesaan, apabila tidak divaksin dan datang ke pejabat, ia akan memberikan kesan atau anggapan negatif dalam kalangan mereka yang telah divaksin.

“Penjawat awam di Labuan yang telah menerima vaksin melebihi 90 peratus, iaitu sama dengan peratusan seluruh negara,” katanya.

Setakat ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksin adalah seramai 16,902 orang.

Related Articles

Back to top button