
Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews
Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah
KUALA LUMPUR : Keputusan kajian ubat Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19 akan mula diketahui pada September ini.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba, seramai 200 pesakit Covid-19 terlibat dengan kajian yang membabitkan 18 hospital kerajaan.
Pada sesi penggulungan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam, kajian yang dijalankan ini dikenali sebagai Ivermectin Treatment Efficacy on COVID-19 High Risk Patient.
“Berdasarkan perancangan awal, seramai 500 pesakit COVID-19 berisiko tinggi dan bergejala ringan akan terbabit dalam kajian ini namun setakat ini, kira-kira 200 pesakit sudah menyertai kajian berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan kemungkinan penggunaan Ivermectin akan diluluskan bagi tujuan merawat pesakit Covid-19.
Bagaimanapun, bukti kukuh untuk keberkesanan dan kesan sampingnya perlu diambil kira.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM ketika ini hanya membenarkan penggunaan Ivermectin secara ‘off label’ iaitu ubat di luar indikasi tertera dalam label dan masih belum dipersetujui badan atau lembaga bertanggungjawab.
Ulas Dr Noor Hisham, penggunaan Ivermectin dalam negara dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah meluluskan penggunaan ‘off label’ seperti digunakan dulu untuk ubat anti malaria dan HIV.
Merujuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Ivermectin hanya digunakan untuk merawat COVID-19 dalam ujian klinikal.
Bukti terkini penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 tidak dapat disimpulkan, sehingga lebih banyak data tersedia.
Oleh : Nurshazlin Shahrom