Pengguna terjejas banjir di Pahang diberi pengecualian bil air selama tiga bulan
KUANTAN : Pengecualian bayaran bil selama tiga bulan diberikan kepada pengguna yang terkesan akibat banjir di Pahang bermula bulan ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pengecualian bayaran itu bermula Januari hingga Mac depan membabitkan lebih 40,000 rumah.
Menurutnya, pihak mereka memahami situasi mangsa banjir terutama ketika dalam fasa pemulihan ekoran bencana itu.
“Dengan pengecualian ini peruntukan yang diberikan kerajaan negeri dianggarkan berjumlah RM1.5 juta.
“Diharapkan dengan pengecualian ini ia dapat membantu meringankan beban mangsa banjir terutama bagi membersihkan premis masing-masing yang terjejas akibat bencana alam itu,” katanya.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri komited membantu mangsa yang terkesan akibat bencana banjir di seluruh Pahang.
Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan beberapa bantuan kepada mangsa banjir termasuh Bantuan Wang Ihsan (BWI).
“Selain itu pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan kepada penyewa Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) yang terjejas banjir.
“Tidak terhenti di situ, kerajaan negeri menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bersetuju untuk mengecualikan pembayaran bil air selama tiga bulan di kawasan terjejas banjir baru-baru ini,” katanya.