Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
BANGI – Bersempena dengan sambutan Aidilfitri yang dijangka pada 3 Mei 2022 ini, Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan tol percuma dan diskaun tol sehingga 50% kepada Keluarga Malaysia yang pulang berhari raya.
Diskaun dan tol percuma ini yang diberikan melibatkan 30 lebuh raya diseluruh negara dengan diskaun sebanyak RM77.11 juta. Antara plaza tol yang terlibat dengan pemansuhan kadar tol adalah melibatkan Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur.
Kerajaan juga akan mansuhkan kadar tol pada waktu pulang bermula 12 tengah malam pada 7 Mei 2022 (Sabtu) hingga jam 11.59 malam pada 8 Mei 2022 (Ahad). Tawaran diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus akan diberikan kepada lebuh raya-lebuh raya lain pada tarikh dan masa yang sama kepada semua kelas kenderaan.
Tinjauan yang dilakukan di tol Bandar Seri Putra mendapati rata-rata pengguna jalan raya seronok dapat menikmati kadar tol percuma dan diskaun yang akan bermula jam 12 tengah malam pada 30 April 2022 (Sabtu) sehingga jam 11.59 malam pada 1 Mei 2022 (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.
Menurut pengguna jalan raya, Habib Taha yang menyatakan perasaan teruja apabila kerajaan mengumumkan pemansuhan kadar tol yang dapat memudahkan perjalanan pergi dan balik.
“Bagi saya, pemansuhan kadar tol ini merupakan salah satu inisiatif bagi memudahkan perjalanan pergi dan balik, biasanya waktu perayaan ini orang bersesak-sesak di jalan raya. Malah, ia berikan kelebihan kepada rakyat untuk pulang berhari raya,”katanya kepada Ummah Today disini, semalam.
Begitu juga dengan pemandu bas, Mohd Adin Mohzani Mohd Harun yang teruja dengan diskaun yang diberikan.
“Alhamdulillah, dengan pengurangan kadar tol ini, mungkin dapat mengurangkan belanja syarikat-syarikat bas dan memberi kelebihan kepada syarikat. Walaupun dijangka jalan akan sesak tapi rakyat terujalah untuk pulang ke kampung halaman berhari raya,” katanya.
Inisiatif yang diberikan oleh kerajaan ini memberikan kelegaan kepada pengguna jalan raya, meskipun akan berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, tapi rakyat turut gembira untuk menyambut perayaan di kampung halaman.