KUALA LUMPUR : Seorang ‘pengganas’ tewas dalam latihan akhir Eksesais Mantis (Eks Mantis) Siri 8/2022 yang bertempat di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Cochrane, hari ini.
Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Ab Rahman berkata konsep eksesais ini menjurus kepada Operasi Melawan Keganasan dalam situasi ancaman senjata kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan (CBRNE) di Stesen Keretapi bawah tanah dan tempat parkir kenderaan.
“Objektif utama latihan adalah sebagai platform perkongsian pengetahuan, kepakaran dan melatih anggota TDM dalam menghadapi ancaman senjata CBRNE.
“Konsep latihan yang dilaksanakan memberi fokus kepada atur gerak kumpulan kecil berkepakaran CBRNE, tim pemusnah alat letupan reka ganti (IED), tim perubatan medan dan tim penggempur GGK bagi menyokong operasi anti keganasan,” katanya ketika sidang media.
Sementara itu, ini merupakan latihan kali kedua menggunakan konsep yang sama dilakukan di stesen MRT.
Mengulas lanjut, latihan akhir ini dilaksanakan bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan staf MRT dengan penglibatan pelbagai agensi awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta lain-lain agensi dalam menghadapi sebarang insiden atau ancaman serta membantu mencapai Key Performance Indicator (KPI) berkaitan ‘Keselamatan dan Pengawasan’.
Latihan akhir Eksesais Mantis Siri 8/2022 turut melibatkan pasukan Skuadron Ke-12 Rejimen Askar Jurutera Diraja (12 Skn RAJD) bagi pelaksanaan Chemical Biological Radiological Nuclear and Explosive (CBRNe) bersama Angkatan Tentera Kanada (ATK).
Tambah beliau, ini merupakan latihan bilateral yang dijalankan oleh TDM bersama Angkatan Tentera Kanada (ATK) dengan kerjasama pegawai serta anggota dari Canadian Special Operation Force Command (Cansofcom).
Selain itu, kerjasama bilateral ini turut diperkukuh bersama agensi awam sebagai Latihamal Pelan Tindakan Kecemasan dari pihak Rapid Rail Sdn Bhd.
Hadir sama menyaksikan eksesais tersebut adalah Panglima Medan Barat TDM, Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Komander Jurutera Medan Barat, Mejar Jeneral Ir Abdul Hamid Mohd Isa, Penasihat Pertahanan Kanada, Leftenan Kolonel, Jason King dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah.