Semasa

Penggambaran luar studio dibenarkan pada Fasa Dua PPN

PUTRAJAYA : Kerajaan meluluskan pembukaan semula aktiviti penggambaran filem di luar studio dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata kelulusan untuk aktiviti penggambaran filem pada fasa dua adalah berpandukan kepada pelaksanaan syarat-syarat yang diperketatkan di bawah Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) yang akan dikawal selia oleh Perbadanan Kemajuan filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Inisiatif PREP ini juga adalah kawalan bersepadu aktiviti penggambaran yang bergerak dalam zon gelembung yang terasing, terkawal dan terhad melalui pematuhan syarat-syarat utama di bawah kelulusan Surat Perakuan Penggambaran filem Khas (SPP Khas) FINAS.

“Produksi drama, iklan dan dokumentari sahaja yang terdahulunya telah menangguhkan penggambaran kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di fasa Pelan Pemulihan Negara sahaja dibenarkan.

“Aktiviti penggambaran hanya boleh dijalankan di negeri-negeri yang berada di status fasa dua sahaja dan melibatkan lokasi atau premis penggambaran luar studio sahaja dengan syarat ia mempunyai jarak zon penampan (buffer zone) daripada mana-mana kawasan penempatan serta perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Saifuddin juga memaklumkan aktiviti penggambaran dilaksanakan dengan kaedah PREP yang melibatkan jumlah tenaga produksi yang minima serta tidak dibenarkan keluar dari radius zon penggambaran sehingga tamat penggambaran.

Untuk tujuan tersebut, setiap produksi mempunyai tempoh bertenang yang ditetapkan sebelum dibenarkan untuk sebarang penggambaran baharu

Penguatkuasaan aspek kawalan risiko dengan kebenaran diberikan kepada tenaga produksi yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19, menjalani saringan kesihatan sebelum, semasa dan selepas tamat penggambaran

Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) bakal dilantik oleh pihak produksi yang bertanggungjawab bagi pematuhan semua SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Datuk Saifuddin turut menyeru syarikat produksi yang terlibat untuk sentiasa mematuhi semua syarat-syarat yang dinyatakan untuk mengelakkan sebarang implikasi perundangan, keselamatan dan kesihatan khususnya dalam usaha memerangi Covid-19.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button