KUALA SELANGOR: Seorang wanita maut apabila dipenggal anak lelakinya sendiri di kediaman mereka di Kampung Baru Pasir Penambang di sini, petang semalam.
Suspek adalah seorang penganggur yang pernah dipenjara akibat melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya sendiri sebelum ini bertindak memenggal kepala ibunya itu pula di kediamannya.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menyiasat bahawa suspek berusia 28 tahun itu melakukan kesalahan berkenaan pada 2014 dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Namun, suspek merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik sudah menjalani hukuman atas kesalahan itu manakala kes berhubung penglibatan suspek dalam penyalahgunaan dadah, kita percaya antara tiga hingga empat tahun,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian di sini, hari ini.
Ramli menambah, pihaknya dalam proses merekodkan keterangan ahli keluarga termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan.
“Polis masih menjalankan siasatan menyeluruh termasuk punca sebenar kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Keseksaan, manakala jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kejadian yang berlaku disedari oleh kakak kepada suspek berusia lingkungan 30-an apabila menemui mangsa di rumah tersebut.
“Suspek melarikan diri ketika itu dan kita berjaya menahannya di kawasan semak kira-kira 50 meter di belakang kediaman berkenaan, namun, kita tidak menemui sebarang alat atau bahan berkaitan dadah di kedua lokasi tersebut,” katanya.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today