Kebiasaannya, mengembara akan menyebabkan hilangnya kesenangan dan keselesaan dalam melakukan amalan harian mahupun beribadah. Namun perkara ini tidak bagi seorang rakyat Malaysia ini, Nursulhi Rahim, 42 tahun, atau lebih selesa dipanggil dengan nama Along, telah menjalankan penjelajahan ke benua Eropah dengan hanya menaiki Perodua Kelisa. Beliau juga membawa anak sulongnya Mohd Aidil, 15 tahun, untuk menjalankan misi musafir mereka. Sebuah perjalanan yang punyai seribu penceritaan kasih sayang antara sahabat, anak, masyarakat dan jati diri negara Malaysia tercinta.
Baik, saya akan ceritakan sedikit kisah bagaimana saya berjumpa dengan Along.
Along bersama pasangan “Motor Kapcai” Mohd Alfishahrin dan Diana Latif merancang untuk membuat jelajah benua pada 3 November 2019. Dalam mencari sokongan dan kerjasama pihak yang ada di Malaysia, mereka juga meminta bertemu dengan MAPIM untuk membawa gerakan kemanusiaan dalam perjalanan mereka. CEO MAPIM, (Dr.) Sani Araby Al-Kahery melancarkan kempen #Road4Ummah bersama mereka bagi membawa mesej membantu rakyat Syria. Majlis pelancaran ini dibuat di Wisma MAPIM Malaysia, Bukit Mahkota, Bangi pada 2 November 2019.
Pada 7 Januari 2020 semasa misi kemanusiaan MAPIM sedang berlangsung di Syria, delegasi misi kemanusiaan Syria MAPIM sempat bertemu dengan Along di sempadan Turki-Syria (Kilis). Jadi saya sempat menemu ramah dan beramah mesra bersama beliau di sana. Anaknya juga sempat saya bertanyakan pengalaman pahit manis sepanjang perjalanan mereka. Tambahan lagi saya juga sempat untuk menaiki kereta Kelisa tersebut daripada pintu sempadan Turki-Syria hingga ke hotel kami berjarak 10 hingga 12 km untuk merasai sendiri keadaan perjalanan mereka.
3 perkara yang menarik diceritakan
sepanjang saya menemu ramah beliau dan anaknya, Aidil.
1 – Kita Baik dengan Orang, Orang Baik dengan Kita
Setiap perhentian yang mereka lakukan, mereka sentiasa memulakan dengan senyuman walaupun tiada kefahaman bahasa antara satu sama lain. Gelak ketawa gurauan senda juga sering menjadi langkah mereka untuk beramah mesra dengan penduduk tempatan. Sehingga ada yang sanggup isi petrol Kelisa tersebut dan memberi barangan seperti pakaian sebelum berpisah.
“Baju sejuk yang saya ada semua orang bagi waktu berhenti di mana-mana.” terang Aidil kepada saya.
Yang lagi menarik, mereka hanya menggunakan google translate unutk berkomunikasi dengan setiap penduduk tempatan. Saya juga sempat beberapa kali menyaksikan gelagat Along bercakap bahasa Melayu untuk di terjemah ke bahasa Turki pada ketika itu.
2 – Jauhkan Sangkaan Gagal Sebelum Membuat Sesuatu, Sentiasa Berdoa
“Allah akan sentiasa tolong kita, cuma kita yang kena percaya dengan Dia” kata along selepas menceritakan pengalamannya semasa mencari cara memasang heater pada kereta tersebut yang bermula di Iran yang memberi tong gas untuk dibuka api secara kecil untuk memanaskan kereta. Saksikan video berdurasi 3 minit ini yang diambil oleh saya ini.
Kebiasaannya beliau sentiasa akan menambah kata-kata yang bersifat motivasi setiap kali bergurau senda. Menyebabkan orang disekelilingnya sentiasa rasa tidak janggal.
3 – Jauh Perjalanan, Luas Pandangan
Semasa saya menemu ramah Aidil pula, beliau amat ramah namun sebaliknya apa yang dikatakan Along, sebelum ini Aidil adalah seorang yang ‘introvert’, kurang kehadapan untuk berinteraksi dengan orang luar. Selepas lebih sebulan perjalanan bersama ayahnya beliau sudah semakin berani untuk berinteraksi dengan orang lain walaupun berbeza bahasa pertuturan. Aidil juga sangat suka bercerita tentang masyarakat lokal di setiap negara yang mereka singgah.
“Kadang-kadang Aidil cakap melayu jer sampai lah mereka faham” terangnya.
Walaupun beliau hanya berumur 15 tahun, sudah banyak ‘character’ yang ditunjukkan. Berbanding remaja 15 tahun yang lain, ada yang masih bersifat lebih kepada kebudak-budakkan.
Setakat ini negara asia yang beliau telah jelajah dengan Kelisanya adalah Thailand,Myanmar, India, Pakistan, Iran, dan Turkey. Negara Eropah pula adalah Bulgaria, Romania, Hungry, Croatia, Slovenia, Austria, Germany, Netherlands, Denmark, Sweden, Belgium, France, Switzerland, Italy dan Greece.
Beliau akan meneruskan lagi perjalanan beliau ke negara seterusnya.
ikuti akaun Facebook beliau
Kisah ini ditulis oleh Ikhwan Solehin Azmi
(Journalist UmmahToday dan juga merupakan team media kemanusiaan MAPIM Malaysia)