KOTA KINABALU : Pengembara dari 11 negara yang berhasrat untuk memasuki negeri Sabah perlu menjalani kuarantin wajib terlebih dahulu.
Syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Sabah itu akan mula berkuatkuasa Selasa ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata penetapan itu melibatkan pengembara dari United Kingdom, Arab Saudi, Australia, Norway, Perancis, Kanada, Denmark, Nigeria, Amerika Syarikat, India dan Pakistan.
“Pengembara hendaklah menjalani kuarantin wajib melalui Pintu Masuk Antarabangsa Pertama di pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan sebelum dibenarkan untuk memasuki atau meneruskan penerbangan ke Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Masidi berkata sebanyak 108 kes baharu jangkitan Covid-19 dicatatkan di Sabah dengan satu kematian dilaporkan di Kota Belud.
“Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 222 menjadikan jumlah kumulatif (sembuh) 232,293 orang, manakala 678 pesakit sedang menerima rawatan,” katanya.
-Diolah dan disunting dari artikel BERNAMA