Pengawal peribadi bantu suspek panjat pagar
Kes suspek sindiket gubah wang haram larikan diri
PUTRAJAYA: Rakaman litar tertutup (CCTV) di Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mendapati lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang juga suspek utama sindiket pengubahan wang haram melarikan diri dengan bantuan dua pengawal peribadinya.
Memetik Berita Harian, sumber memberitahu, ketika kejadian pada 11 Oktober lalu, suspek sememangnya sudah menaiki kenderaan miliknya dan dilihat menuju ke pintu pagar utama bangunan terbabit.
“(Beliau melarikan diri) dengan dibantu dua lagi pengawal peribadi yang sudah bersedia untuk membantunya memanjat pagar dan meloloskan diri daripada tangkapan polis.
“Hasil semakan CCTV beliau memanjat pagar dengan bantuan dua pengawal peribadi dan sebuah kereta MyVi sudah menunggu di tepi jalan,”
Sumber berkata demikian kepada Berita Harian.
Tambah sumber, suspek bersama lapan lagi individu itu sudah dilepaskan daripada reman dan dibawa Ibu Pejabat SPRM bagi proses dokumentasi jaminan.
“Tiba saja di Ibu Pejabat SPRM, kelihatan ramai pegawai polis berkumpul di lobi utama. Ini menyebabkan semua suspek tidak mahu keluar daripada kenderaan masing-masing.
“Ada dalam kalangan ahli keluarga suspek juga hadir untuk proses jaminan dan terdapat kekecohan di lobi utama bila semua Orang Kena Tahan (OKT) enggan turun daripada kenderaan kerana kehadiran anggota polis yang ramai di lobi Ibu Pejabat SPRM,” katanya.
Sumber berkata, hasil perbincangan antara SPRM, polis dan peguam yang hadir, pihak polis akur dan bersetuju untuk menunggu di pintu utama luar Ibu Pejabat SPRM.
“Setelah selesai proses dokumentasi jaminan, kesemua OKT dibebaskan dan menaiki kenderaan masing-masing keluar dari Ibu Pejabat SPRM.
“Terdapat empat kenderaan jenis Velfire memasuki Ibu Pejabat SPRM bagi menjemput individu termasuk suspek.
“Setiap kenderaan yang melalui pintu pagar utama ditahan polis dan individu terbabit akan ditangkap semula.
“Bagaimanapun suspek yang bergelar Datuk Seri itu yang pada mulanya sudah memasuki kenderaan bersama peguam, pengawal peribadi dan pemandu itu didapati tidak ada di dalam kenderaan terbabit kerana sudah melarikan diri,” katanya. – BERITA HARIAN