Hiburan

Pengarah Yusof Kelana, Pelakon veteran Abu Bakar Juah meninggal

Takziah kepada kedua-dua keluarga Allahyarham

Dunia hiburan tanah air hari ini menerima dua khabar duka, dengan pemergian Allahyarham pelakon veteran, Abu Bakar Juah, 72 tahun dan Pengarah filem, Yusof Kelana.

Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Alam Damai, Cheras pada jam 6.35 petang tadi, akibat kanser hati.

Berita itu disahkan oleh anak ketiga Allahyarham, Safinas Abu Bakar, 32.

Allahyarham sebelum ini dilaporkan tenat selepas dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak lebih dua minggu lalu.

Pelakon filem Matinya Seorang Patriot dan Dukun ini disahkan menghidap kanser usus sejak tahun 2016.
Selepas menjalani 12 pusingan kimoterapi, doktor mengesahkan pelakon veteran itu bebas daripada kanser.

Selepas disahkan bebas kanser, bapa kepada empat cahaya mata itu mengamalkan cara hidup sihat dengan mengambil pemakanan berkhasiat dan bersenam.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini, doktor mengesahkan penyakit kanser itu kembali menyerang, malah lebih agresif hingga merebak ke bahagian hati.

Almarhum Abu Bakar yang juga bekas Pengarah Penjara Taiping itu meninggalkan balu, Rusidah Mohd Yassin dan empat anak.

Drama terakhir dibintangi beliau ialah Mr Grey pada tahun 2018.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai jam 10 pagi esok.

Sementara itu pagi tadi, pengarah filem Tragedi Oktober, Yusof Kelana menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Taman Melawati, Hulu Klang jam 9.30 pagi, hari ini.

Isteri Allahyarham, Nur Maynah ketika dihubungi Harian Metro berkata, suaminya menghembuskan nafas terakhir ketika dia dan anak-anak sedang membacakan surah Yasin.

“Arwah berada dalam keadaan sedar, cuma dia diam dan tak bergerak sebelum meninggal dunia. Saya panggil anak-anak untuk membaca Yasin. Saya juga sempat bisik ke telinganya dengan menyebut kalimah Lailahaillallah,” katanya.

Allahyarham 66 tahun, disahkan menghidap kanser kulit tahap empat dikhabarkan tenat di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

Yusof yang disahkan menghidap kanser pada Julai lalu, mulanya menyangka luka pada tapak kakinya hanya kecederaan biasa.

Memetik mStar.com.my Allahyarham atau nama sebenarnya Omar Saleh telah mendapat simptom awal iaitu luka sebesar syiling 50 sen pada tapak kaki dua tahun lalu.

Namun Allahyarham tidak mendapatkan rawatan yang sepatutnya dan membiarkan luka itu merebak kerana tidak gemar ke hospital.

Allahyarham disahkan menghidap kanser kulit pada Jun tahun ini.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)  dalam entri di laman Facebook rasminya merakamkan takziah kepada kedua-dia keluarga Allahyarham, dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Sumber : mStar

 

 

 

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button