Penganjuran konsert undang masalah sosial dalam kalangan masyarakat – Idris
PUTRAJAYA : Konsert yang boleh merosakkan akhlak masyarakat sepatutnya tidak perlu dianjurkan di negara ini, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Idris dalam satu hantaran di Facebook berpendapat bahawa ia mampu membawa kepada pembinaan generasi yang pincang sekiranya hiburan tanpa batasan ini terus menjadi budaya.
“Kita bukan anti hiburan, namun kita tidak bersetuju dengan penganjuran konsert yang boleh mengundang masalah sosial dalam kalangan masyarakat.
“Negara baru sahaja dilanda wabak COVID-19 yang sehingga kini masih belum selesai sepenuhnya. Seharusnya ia menjadi iktibar dan keinsafan kepada kita semua,” tambah beliau.
Idris berkata sedemikian selepas penganjuran konsert bintang elektro pop indie, Billie Eilish yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil pada Khamis lalu dan beberapa siri konsert artis luar negara yang akan diadakan tahun ini.
“Kita mesti bersatu hati dalam bab ini. Kembalilah kita semua kepada Tuhan. Anak muda khususnya, anda menjadi harapan negara. Jaga akidah dan jaga iman,” tegasnya.