Penganjur ayam beku percuma dikompaun
Orang awam bersesak dapatkan 2,000 ekor ayam dalam tempoh 30 minit
PUTRAJAYA : 2,000 ekor ayam percuma! Siapa cepat dia dapat! Natijahnya ramai berpusu-pusu ke Precint 9 Putrajaya.
Lebih kurang 2,000 orang jugalah bersesak untuk mendapatkan ayam percuma itu dalam tempoh 30 minit.
Agihan ayam beku percuma itu dianjurkan oleh Pemuda UMNO Putrajaya pada Khamis lalu.
Keadaan bersesak itu menimbulkan persoalan apakah bakal muncul `Kluster Ayam’?
Ini kerana Putrajaya adalah antara enam negeri yang diwajibkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun kebimbangan itu disangkal Naib Ketua Pemudanya, Mohd Zushaidey Zulkifli yang dihubungi sinarharian.com, dan berkata acara itu telah mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis.
“Kami menitikberatkan soal prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana agihan dibuat secara pandu lalu dan tidak melibatkan sebarang sentuhan,”
Tambah beliau inisiatif itu bagi meringankan beban penduduk Putrajaya.
Hari ini, Polis Diraja Malaysia mengkompaun penganjur program kerana didakwa tiada penjarakan fizikal dan kegagalan mematuhi SOP.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, penganjuran program itu tidak mendapat kelulusan pihaknya disebabkan Wilayah Persekutuan Putrajaya berada dalam tempoh PKP.
Menurutnya, program pengedaran ayam beku percuma itu dibuat secara pandu lalu dengan konsep first come first serve dan telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan kehadiran ramai orang di lokasi.
“Kompaun telah dikeluarkan kepada pihak penganjur di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu kesalahan di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021,”