Penetapan harga lantai umrah kini RM6,900 bagi 12 hari 10 malam
KUALA LUMPUR : Harga lantai kepada syarikat pengendali umrah berlesen untuk mengerjakan umrah kini ditetapkan oleh kerajaan kepada RM6,900 bagi 12 hari 10 malam.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan ia selaras dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak Arab Saudi dan pihak kerajaan Malaysia.
“Harga lantai akan disemak semula apabila wabak Covid-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal dengan kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan oleh pihak kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.
“Harga ini juga merupakan panduan bagi pihak kementerian dalam melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah manakala orang ramai boleh menjadikannya sebagai panduan dalam membuat pertimbangan dalam memilih syarikat mana yang sesuai dengan bajet mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, bilangan kapasiti dalam bilik penginapan di Arab Saudi juga merupakan antara faktor kenaikan harga berikutan kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50 peratus daripada jumlah kapasiti sebenar dan pengurusan mutawif serta ujian calitan Covid-19.
Dalam pada itu, bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan pakej umrah, diingatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya mendapati harga ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang ditetapkan
Sementara itu, orang ramai juga boleh menghubungi pejabat MOTAC negeri atau melayari laman sesawang rasmi kementerian untuk mengenal pasti syarikat-syarikat dilesenkan.
Menurut kenyataan itu, sebagai inisiatif menangani kes-kes penipuan pakej umrah, kementerian itu turut mewajibkan mana-mana syarikat pengendali umrah berlesen untuk memohon kebenaran bagi mengiklankan promosi umrah.
Perkara itu selaras Peraturan 6(1A)(a) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang menyatakan ‘pengendali pelancongan berlesen tidak boleh mengiklankan pakej yang ditawarkan tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan’.
“Setiap iklan yang diluluskan akan diberikan Nombor Siri Khas iklan umrah yang perlu dipaparkan di iklan-iklan yang akan dipromosi. Ini bertujuan untuk membantu kementerian mengenal pasti iklan-iklan haram pakej umrah,” menurut kenyataan itu dengan menambah sehingga kini MOTAC telah menerima 31 permohonan iklan.
MOTAC memaklumkan berdasarkan sesi libat urus dengan persatuan pengendali umrah, persatuan terlibat memahami dan menyokong inisiatif yang dilaksanakan MOTAC demi memelihara kepentingan Keluarga Malaysia serta pemain industri umrah itu sendiri.
Borang permohonan iklan pakej umrah boleh dimuat turun daripada laman sesawang rasmi kementerian di www.motac.gov.my.
Oleh Hafeez Anuar