DuniaKemanusiaanPalestin

Penerbangan khianat!

Pesawat Israel pertama terbang tanpa henti Tel Aviv-Abu Dhabi, lintasi Arab Saudi

Semalam menjadi titik hitam dalam sejarah warga Islam apabila pesawat El Al milik Israel menjadi pesawat pertama melintasi kesucian kota Mekah di atas ruang udara Arab Saudi untuk menuju lapangan terbang Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

Penerbangan LY 971 itu membawa sekumpulan delegasi pengurusan kanan Amerika Syarikat dan Israel, iaitu Penasihat Kanan kepada Presiden Donald Trump dan juga Penasihat Kanan Keselamatan Israel, Meir Ben Shabbat.

Mengambil masa hanya 3.5 jam dari Tel Aviv ke Abu Dhabi, berbanding sebelumnya lapan jam perjalanan.

Penerbangan ini sekaligus menjadi titik permulaan menandakan secara rasminya, kesan yang terhasil natijah daripada perjanjian Normalisasi yang dimeterai 13 Ogos lalu UAE-Israel.

Menggunakan alasan atas dasar keamanan, supaya dunia melihat asas kepada hubungan itu, perkataan aman ditulis di bahagian kok pit, dengan tiga bahasa, Hebrew, Arab dan Inggeris

Pesawat ini juga dinamakan Kiryat Gat, sempena mengambil nama sebuah perkampungan Yahudi yang dibina di atas tinggalan dua perkampungan Palestin yang telah melalui pembersihan etnik, Iraq al-Manshiyya dan al-Faluja.

Apa yang menyentap rasa warga Palestin dan umat Islam, amnya pesawat ini terbang melintasi ruang udara Arab Saudi.

Sedangkan selama ini tiada penerbangan Israel dibenarkan, sebaliknya mereka perlu mengelilingi Laut Merah.

Setakat hari ini, hanya Air India dibenarkan melintasi ruang udara Arab Saudi iaitu pada tahun 2018.

Namun desas-desus yang dipetik dari agensi berita Channel 12, kebenaran ini diterima daripada Riyadh hanya kerana penerbangan membawa orang-orang penting dari Amerika Syarikat.

Setibanya di  Abu  Dhabi pada jam 11.00 pagi semalam, Kushner selaku Penasihat Utama Rumah Putih, berkata Washington mengharapkan lebih banyak lagi penerbangan seumpamanya dilakukan selepas penerbangan sulung ini.

Malah Kushner juga mengucapkan terima kasih kepada Riyadh kerana keizinannya membenarkan El Al melalui ruang udara negara itu.

Ketika El Al dalam perjalanannya ke Abu Dhabi, Perdana Menteri Benjamin Nentanyahu mengeluarkan kenyataan sinis bahawa banyak lagi yang bakal menanti dan berlaku dengan negara-negara Arab namun beliau tidak boleh mendedahkannya.

“Permaidani merah akan kami hamparkan menyambut delegasi Abu  Dhabi nanti.”

Memetik Channel News Asia, Israel katanya sedang berbincang secara sulit dengan negara-negara yang tidak disebutkan bagi tujuan hubungan normal dengan pihaknya.

Riyadh sebelum ini menafikan akan mengikuti jejak langkah UAE menyertai perjanjian normalisasi dengan Israel.

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button