Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
PETALING JAYA : Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bakal diterbangkan oleh Syarikat penerbangan Arab Saudi, Saudia Airlines pada tahun ini.
Menurut jurucakap Tabung Haji, pesawat tersebut akan melakukan penerbangan pertama jemaah haji Malaysia yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4 Jun ini.
“Pesawat tersebut dijadualkan berlepas pada pukul 1.35 tengah hari waktu Malaysia dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah pada pukul 4.55 petang waktu tempatan.
“Berdasarkan jadual, jumlah penerbangan jemaah ke Tanah Suci berbeza pada setiap hari di mana ia melibatkan antara satu ke tiga pesawat setiap hari,” katanya.
Tabung Haji turut memaklumkan penerbangan terakhir jemaah haji ke Tanah Suci pada 3 Julai nanti.
“Pesawat terakhir akan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada pukul 12.45 malam, pada 3 Julai menerusi pesawat Malaysia Airlines,” katanya lagi.
Terdahulu, kuota haji Malaysia pada tahun 2022 adalah seramai 14,360 iaitu 45 peratus seperti yang diumumkan oleh Arab Saudi daripada kuota tahunan yang biasa diterima.
Arab Saudi juga telah menetapkan kuota haji pada tahun 2022 melibatkan seramai satu juta jemaah di mana 85 peratus daripadanya merupakan jemaah luar.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata penerbangan pertama yang sepatutnya berlepas pada 31 Mei lalu terpaksa ditunda kepada 4 Jun ini, disebabkan jumlah penerbangan pada tahun ini berkurang berbanding tahun sebelumnya.
-Agensi