Penduduk Taman Desaria Nilai menyambut Bulan Kemerdekaan dengan cara tersendiri
Malaysia Prihatin
Nilai : Ini tahun kedua bulan kemerdekaan disambut semasa zaman covid. Namun, berbanding tahun lepas, sambutan kali ini lebih meriah untuk penduduk di Taman Desaria di Nilai, Negeri Sembilan.
Pada tahun ini KRT Desaria Nilai telah menganjurkan Pertandingan Jalan/Lorong Merdeka dan Pertandingan Rumah Merdeka bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan.
Menurut Ahmad Rostam, penduduk Jalan 20, “Ini cara kami meraikan bulan kemerdekaan dan cara melahirkan kesyukuran kerana Negeri Sembilan sudah memasuki Fasa 3. Dalam masa yang sama, pertandingan ini mampu mengeratkan lagi hubungan silaturahim penduduk yang sudah hampir dua tahun berkurung di rumah. Jadi apabila dapat bersama-sama mengibarkan bendera dan menghias jalan, ia bukan sahaja untuk memperingati pengorbanan pejuang kemerdekaan negara, tetapi ia juga membantu daripada segi emosi penduduk.”
Beliau turut menambah, walaupun sudah Fasa 3, SOP covid semasa acara pertandingan berlangsung sangat dititikberatkan. Tidak ada kompromi.
Sebelum ini Taman Desaria, Nilai pernah ‘dipagar kawat berduri’ kerana dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Diharapkan kemeriahan sambutan bulan kemerdekaan ini akan dapat dirasai oleh seluruh penduduk Malaysia.