HULU TELEMONG : Misi Bantuan Bencana Banjir Pantai Timur 2022 hari ini diteruskan ke Kuala Berang, Terengganu.
Perjalanan konvoi mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit dari Telemong ke pedalaman Kampung Betong disambut dengan ladang-ladang sawit disekeliling kampung yang menjadi punca pendapatan utama penduduk di sini.
Tim advance MAPIM Rangers yang diketuai oleh Khairul Badri Abdul Basit atau lebih dikenali sebagai Kay dengan kekuatan 15 jentera pacuan empat roda 4×4 meredah ke Kampung Betong, Ajil untuk menjalankan kerja-kerja tinjauan & persediaan bantuan penduduk kampung pada esok (Sabtu).
Banjir di Kampung Betong berlaku Sabtu lalu (27 Feb 2022) pada jam lebih kurang 7 pagi. Menurut Mohd Nur Salam Zawawi, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Betong, musibah banjir kali ini adalah yang paling teruk dialami penduduk sejak tahun 1980.
Ada seorang penduduk nyaris lemas kerana air naik setinggi paras bumbung rumah! Mujur tiada kehilangan nyawa, cuma penduduk mengalami kerugian besar akibat perabot dan perkakasan elektronik yang kebanyakkannya rosak.” jelas Mohd Nur Salam.
Mangsa yang terjejas di Kampung Betong dilaporkan sejumlah 353 orang melibatkan 93 keluarga.
Tim advance MAPIM Rangers menghadapi cabaran mencari punca air bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah penduduk kampung esok memandangkan bekalan air di Kampung Betong terputus sehingga ke hari ini. Kerja-kerja bantuan akan merangkumi usaha bergotong-royong membersihkan dan membaiki rumah yang rosak serta serahan kotak-kotak bantuan yang telah dibawa bersama konvoi misi. Pada Khamis, sebuah kontena yang diisi dengan 1000 kotak bantuan daripada MAPIM Malaysia telah tiba di Paka, Dungun untuk diedarkan kepada mangsa banjir yang terjejas di sekitar Terengganu.