Kuala Lumpur : Khidmat Mobile Clinic Majlis Agama Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kembali diteruskan pada Khamis dan Jumaat lepas. Lokasi kali ini adalah di PPR Kg Baru Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur.
Jumlah pesakit yang telah merebut peluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma selama dua hari lebih 100 orang.
Mobile Clinic ini digerakkan dengan kekuatan dua orang doktor serta dibantu lapan orang sukarelawan.
Salah seorang sukarelawan MAPIM, Aiman Abd Halim memaklumkan Ummah Today, “Mobile Clinic pernah diadakan di sini tahun lepas dan kali ini kita dijemput lagi. Ini menunjukkan khidmat ini sangat membantu penduduk yang memerlukan.”
Puan Asmidar binti Adnan adalah antara penduduk yang tinggal di Blok E, gembira dengan kedatangan Mobile Clinic ini.
Menurutnya, “Makcik memang dah batuk, demam tiga hari dan kepala rasa melayang-layang. Rasa ringan sangat. Memang makcik pergi ke klinik kerajaan sebab percuma. Tapi nak ke sana perlu kos juga, kena naik turun bas. Jadi ada klinik bawah flat ni, sangat memudahkan urusan makcik.”
Hal yang sama dikongskikan oleh Kartini, 64 tahun, yang berasal dari Kuala Selangor memberitahu ini hari kedua dia ke Mobile Clinic. Dia yang menghidap darah tinggi sangat berterima kasih atas layanan doktor dan petugas Mobile Clinic. Beliau berharap khidmat Mobile Clinic akan kerap diadakan.
Tinjauan UmmahToday mendapati khidmat Moblie Clinic ini juga mendapat sambutan daripada kaum Cina dan India.