Dunia

Penduduk Islam Sri Lanka dibenar tunai haji, bayar kos guna matawang asing

COLOMBO : Penduduk beragama Islam di Sri Lanka dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji tahun ini dengan penetapan syarat bayaran perjalanan dalam matawang asing.

Menurut laporan Arab News, langkah itu berikutan negara tersebut berdepan krisis ekonomi yang semakin meruncing sejak zaman kemerdekaan 1948.

Organisasi jemaah haji Sri Lanka memberitahu pada bulan lalu tentang kemungkinan penangguhan operasi ibadah tersebut kerana kos penghantaran jemaah ke Mekah yang terlalu tinggi untuk ditanggung dengan anggarah mencecah sehingga AS$10 juta (RM43 juta).

Menteri Hal Ehwal Agama, Vidura Wickremanayake Selasa lalu menarik semula penangguhan itu susulan perbincangan dengan ahli Parlimen beragama Islam dan Menteri Alam Sekitar, Naseer Ahamed.

Wickremanayake berkata, pihaknya memutuskan untuk memenuhi kuota jemaah haji dengan syarat segala kos dibayar dalam matawang asing yang tidak akan menjejaskan keadaan ekonomi semasa.

“Saya telah meminta bank pusat untuk menyusun kaedah melaksanakan ibadah haji dan mereka akan membantu mencari laluan mudah ke Mekah tahun ini,” katanya.

Tahun ini, Sri Lanka diperuntukkan kuota 1,585 jemaah haji selepas Arab Saudi mengumumkan akan membenarkan sejuta umat Islam dari negara luar menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Memandangkan jemaah haji telah diminta membayar pakej dalam matawang asing, kita tidak boleh mengharapkan untuk menggunakan kuota penuh tahun ini.

“Namun, adalah lebih baik kita menghantar jemaah haji juga ke sana bagi mengekalkan kuota yang diperuntukkan kepada Sri Lanka untuk tahun depan.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button