Pendakian Gunung Kinabalu dibuka semula kepada orang awam
KOTA KINABALU : Semua pejabat dan stesen Taman-Taman Sabah, termasuk pendakian Gunung Kinabalu dibuka semula kepada orang awam, bermula Khamis lalu.
Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata kawasan Taman Pulau-Pulau Penyu di Sandakan dan Pulau Bohey Dulang, Semporna dan Sub Stesen Ulu Kimanis mula beroperasi semula esok.
“Pembukaan taman itu terhad kepada peraturan yang ditetapkan seperti pelawat yang lengkap divaksinasi COVID-19 sahaja dibenarkan.
“Pelancong domestik dari daerah yang sama sahaja dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, jumlah pelawat ke destinasi itu juga dihadkan kepada 100 orang pada satu hari, untuk setiap destinasi lawatan.
“Semua aktiviti yang dibenarkan dalam taman tertakluk kepada prosedur prosedur operasi standard (SOP) operasi stesen Taman-Taman Sabah selaras dengan Pelan Pemulihan Negara Fasa 2 yang dikemas kini pada 11 Sept lalu,” katanya.
– BERNAMA