Covid19Semasa

Pendaftaran secara ‘walk-in’ dos penggalak mulai 22 November

KUALA LUMPUR : Pelaksanaan pendaftaran bagi mendapatkan dos penggalak secara walk-in telah mendapat persetujuan dalam Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) bermula 22 November depan.

CITF-B dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersetuju melaksanakan kaedah tersebut di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta di seluruh negara.

“Ia dilaksanakan bagi Individu yang layak menerima dos penggalak, individu yang ingin mendapatkan suntikan lebih awal sebelum janji temu, individu yang masih belum menerima suntikan dos pertama atau kedua vaksin Covid-19, mereka yang terlepas janji temu vaksin dan remaja berusia lingkungan 12 hingga 17 tahun yang belum melengkapkan vaksinasi.

“Bagaimanapun, keutamaan pemberian dos penggalak adalah kepada petugas barisan hadapan, keselamatan dan pertahanan; individu berusia 40 tahun ke atas; individu berusia 18 tahun ke atas dengan komorbiditi; penghuni dan petugas di pusat jagaan kesihatan jangka panjang, ibu mengandung dan mereka yang perlu ke luar negara,” menurut kenyataan itu.

Dengan pendekatan ini, CITF-B percaya ia akan memudahkan dan menggalakkan individu yang layak untuk secara sukarela menerima dos penggalak lebih awal tanpa perlu menunggu lebih lama.

Sekiranya ada pembatalan janji temu atau gagal hadir oleh mereka yang menerima janji temu vaksin dalam MySejahtera, CITF-B berkata, pendekatan pendaftaran senarai menunggu untuk datang terus akan membantu kerajaan memastikan vaksin tidak dibazirkan dan dapat digunakan secara optimum.

Pendekatan itu akan membantu kerajaan memastikan vaksin tidak dibazirkan dan dapat digunakan secara optimum.

Selain pendaftaran secara jumpa terus di PPV fasiliti kesihatan swasta, ia boleh dilakukan melalui telefon dan e-mel.

Orang ramai boleh merujuk dan menghubungi senarai PPV yang menyediakan perkhidmatan jumpa terus atau telefon atau e-mel untuk daftar janji temu melalui www. protecthealth.com.my bermula 22 November depan.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button