Semasa

Hina Dan Cabar Islam, Ambil Tindakan Tegas – MAPIM

Malaysia yang agama rasminya Islam, dan majoriti penduduknya Islam, tetapi sekali lagi muncul individu rakyat Malaysia sendiri yang dengan sengaja mengeluarkan kata-kata biadap terhadap Allah SWT, Rasulullah S.A.W dan Islam secara terang-terangan yang kemudian ditular dalam media sosial.

Ada banyak persoalan yang timbul. Apakah motif individu ini? Adakah dia bertindak berseorangan ataupun ada dalang yang sengaja mahu mencetuskan ketegangan dalam masyarakat?

Yang jelas individu ini perlu disiasat dan diambil tindakan tegas.

Kami prihatin dengan trend penghinaan terhadap agama yang semakin berleluasa.

Gejala Islamofobia yang membawa sentimen membenci dan menghina agama Islam semakin berkembang dalam negara ini akibat adanya kumpulan yang bersikap melampau atas nama kebebasan bersuara.

Kami menegaskan gelaja menghina agama yang dibawa atas nama budaya sekular dan liberal barat tidak boleh dibiarkan dinegara ini. Nilai barat yang mengenepikan kesucian dan kekudusan agama adalah tertolak dan perlu dikekang daripada berleluasa di negara ini.

Jika sebelum ini ada segelintir individu dan pihak bukan Islam melakukan penghinaan terhadap agama Islam secara terbuka, kini tercetus golongan tertentu dalam masyarakat Islam sendiri yang melakukan demikian.

Adakah ada usaha tersirat yang sedang berkembang dalam negara ini untuk mencetuskan konflik dalam masyarakat berasaskan ras dan agama ?

Kami mengesa pihak berkuasa menyiasat dan bertindak tegas bagi membongkar dalang atau individu yang terlibat dalam usaha menyeleweng dan jahat ini.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM

Related Articles

Back to top button