PolitikSemasa

Pemimpin yang amanah adalah penyelamat ummah

Darjat seorang pemimpin menjadi mulia sekiranya kepimpinannya dilaksanakan dengan penuh amanah

Islam telah menitikberatkan aspek kepemimpinan sebagai suatu keperluan bagi mencapai maksud termasuk matlamat untuk memastikan kesinambungan risalah Islam yang dibawa oleh baginda Nabi junjungan Muhammad SAW dan sekalian rasul demi keselamatan serta kesejahteraan umat manusia.

Rasulullah SAW adalah manusia yang dipilih oleh Allah SWT menjadi contoh dan teladan kepada seluruh umat manusia dalam kehidupan dunia sehinggalah ke akhirat. Ini berpandukan kepada firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا١

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kalian pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (rahmat) Allah dan (balasan baik) pada Hari Akhirat, serta dia juga menyebut-nyebut dan mengingati Allah sebanyaknya (ketika masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab: ayat 21)

Darjat seorang pemimpin menjadi mulia sekiranya kepimpinannya dilaksanakan dengan penuh amanah sebaliknya membawa kehinaan jika dilaksanakan dengan pengkhianatan, pecah amanah dan kezaliman.

Firman Allah SWT dalam Surah Sad ayat 26 yang bermaksud: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikanmu khalifah di bumi maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”

Merujuk Surah Al-Qasas ayat ke-26 pula, ciri-ciri baik, fizikal yang kuat serta boleh dipercayai perlu ada bagi seorang pemimpin.

قَالَتْ اِحْدٰىهُمَا يٰٓاَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖاِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْاَمِيْنُ

Dan salah seorang dari kedua (perempuan) itu berkata, “Wahai ayahku! Jadikanlah dia sebagai pekerja (pada kita), sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja (pada kita) ialah orang yang kuat dan dapat dipercayai.” (Surah Al-Qasas ayat 26)

Jelas sekali, kekuatan tidak hanya meliputi kecergasan fizikal malah kekuatan mental juga spritual manakala amanah pula meliputi komitmen serta mutu kerja seseorang pemimpin.

Ciri-ciri ini penting ketika seseorang yang dilantik menjadi ketua itu melaksanakan apa saja bidang pekerjaan kerana jika dilakukan dengan amanah sudah tentunya akan menyenangkan ramai pihak, namun jika sebaliknya akan menyukarkan urusan orang lain. Tanpa kekuatan dan amanah dalam kepemimpinan, rumah tangga boleh bermasalah, keluarga menjadi porak-peranda, bahkan negara boleh tergadai kepada musuh.

Seseorang pemerintah atau pemimpin akan menempah kejahatan, sekiranya didampingi oleh pembohong yang mengampu, tidak ikhlas dan tidak bertaqwa kepada Allah SWT. Mereka menghormati pemimpin itu hanya kerana takut kepada makhluk, bukan takut kepada Allah SWT atau hanya mengejar kekayaan dunia yang merosakkan.

Justeru itu, Khalifah Islam yang pertama, Saidina Abu Bakar r.a. sebaik sahaja dipilih, terus menyampaikan ucapannya yang bermaksud:

“Wahai semua orang (yang hadir)! Aku telah dilantik menjadi pemimpin kalian, padahal aku bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kalian. Maka, jika sekiranya aku seorang yang berlaku baik, bantulah aku. Sekiranya aku berlaku buruk, perbetulkanlah diriku.” (rujukan Ibn al-Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, jilid. 2, ms. 192).

Secara khususnya, Baginda Rasulullah SAW menjadi teladan sebagai seorang ketua negara, sama ada seorang raja atau seorang pemimpin. Bukan sahaja teladan dari sudut amalannya, bahkan juga memberikan peringatan serta nasihat kepada umatnya secara lisan, kerana Rasulullah SAW mahukan seluruh umatnya terselamat di dunia dan akhirat.

Oleh itu, amat penting bagi seseorang pemimpin untuk menterjemahkan ciri-ciri kepemimpinan dan menghargai kepercayaan yang diberikan sebagai ketua dengan menggunakan kedudukan yang ada bagi memelihara kemaslahatan awam berbanding kepentingan peribadi mahupun kumpulan tertentu.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button