PEMERKASA – inisiatif terbaharu bantu orang ramai terjejas pandemik
Geran Khas Prihatin 3.0 dibuka semula 1 April depan
PUTRAJAYA 17 Mac : Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) merupakan inisiatif terbaharu kerajaan bagi membantu orag ramai yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Pada Rabu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan Geran Khas Prihatin 3.0 (GKP 3.0) menerusi perutusan itu.
Umum beliau, setiap perusahaan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang layak akan menerima bantuan one-off sebanyak RM1,000.
“Permohonan bagi GKP 3.0 akan dibuka mulai 1 April bagi PKS yang tidak menerima GKP sebelum ini. Geran ini dijangka memanfaatkan lebih sejuta usahawan,” – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Dalam merangsang semula sektor pelancongan negara, Muhyiddin turut mengumumkan bantuan buat pemain industri itu.
“Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Geran Bantuan Khas secara one-off sebanyak RM3,000 kepada lebih RM5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).”
Sementara itu, kerajaan turut menyalurkan bantuan secara sekali bayaran kepada pengusaha homestay atau enapdesa.
“Kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan bantuan tunai secara one-off sebanyak RM600 kepada pengusaha homestay yang berdaftar dengan Motac. Bantuan ini dijangka dapat memanfaatkan lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay.”
Selain itu, beliau turut mengumumkan pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus akan dilanjutkan selama tiga bulan lagi sehingga 30 Jun 2021 bagi membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat membeli belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan dan agensi pengembaraan.