RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan pada Khamis bahawa umat Islam yang memperoleh visa pelancong dan visa komersial kini akan dibenarkan menunaikan ibadah umrah di Mekah semasa berada di negara berkenaan.
Fasiliti ini tersedia untuk 49 warganegara dari seluruh dunia. Pengguna boleh membuat pendaftaran visa secara online melalui portal ‘Visit Saudi Arabia’ atau sebaik ketibaan di lapangan terbang antarabangsa Saudi.
Sistem ini bertujuan untuk membolehkan umat Islam menunaikan umrah dengan mudah di negara itu.
Peraturan baharu itu membolehkan pemegang visa Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan negara-negara di Kesatuan Eropah (EU) yang beragama Islam menunaikan ibadah tersebut sempena dengan Tahun Baru 1444 Hijrah.
Pemohon visa hendaklah dari negara-negara termasuk dalam kalangan negara yang layak untuk mendapatkan visa elektronik.
Sistem baharu itu juga membenarkan umat Islam yang memperoleh visa pelancong sah untuk tempoh 12 bulan mengerjakan umrah.
Menurut laporan Saudi Gazette, pemegang visa lawatan keluarga dari negara yang berbeza juga boleh menunaikan umrah dengan menempah janji temu melalui aplikasi Eatmarna untuk saudara mereka semasa lawatan ke Arab Saudi dengan memohon melalui National Unified Visa Platform.
Untuk menunaikan umrah, pengunjung beragama Islam dikehendaki mendapatkan insurans kesihatan komprehensif termasuk perlindungan kos rawatan jangkitan COVID-19, kemalangan sehingga mengakibatkan kematian atau hilang upaya dan perbelanjaan kerana kelewatan atau pembatalan penerbangan.