PalestinSemasa

Pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Jabalia Gaza

Beratus-ratus rakyat Palestin terbunuh atau cedera dalam serangan udara Israel ke atas kem pelarian Jabalia di Gaza, lapor pegawai tempatan dan media.

“Pesawat perang Israel menyerang beberapa bangunan kediaman di tengah-tengah kem yang membawa kepada kematian dan kecederaan kira-kira 400 orang, terutamanya kanak-kanak,” lapor agensi berita rasmi Palestin WAFA pada Selasa.

Serangan itu mengakibatkan ratusan orang terkorban, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Iyad al-Bozom dalam taklimat akhbar, sambil menambah pesawat perang Israel mengebom blok pangsapuri di kem pelarian dan mangsa kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Beliau berkata pesawat pejuang Israel memusnahkan seluruh kediaman yang dikenali sebagai Blok 6.

“Lebih 50 syuhada dan sekitar 150 cedera dan berpuluh-puluh di bawah runtuhan, dalam pembunuhan beramai-ramai Israel yang mensasarkan rumah di kem Jabalia di utara Semenanjung (Gaza),” kata kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin.

Pegawai di Hospital Indonesia di Gaza berkata lebih 50 rakyat Palestin terbunuh dan 150 cedera apabila enam tan bahan letupan menghentam kediaman di kem di utara Gaza.

Rakaman video dari tempat kejadian menunjukkan berpuluh-puluh mayat ditemui dari runtuhan. Berpuluh-puluh orang berdiri di tepi dua kawah besar ketika mencari mangsa yang terselamat.

Raungan memenuhi udara berdebu ketika sukarelawan mengorek blok konkrit dan logam berpintal dalam pencarian mangsa yang terselamat, dengan rakaman video AFP menunjukkan berpuluh-puluh mayat ditemui.

Pakar perubatan membaringkan mayat yang terbungkus kain putih dalam barisan panjang di luar hospital, yang terletak di bandar bersebelahan Beit Lahiya, ketika mangsa cedera termasuk kanak-kanak yang meraung dikejarkan ke dalam untuk rawatan.

Israel mempertahankan pembunuhan beramai-ramai

Jurucakap tentera Israel Leftenan Kolonel Richard Hecht, bercakap kepada CNN, mengesahkan serangan Israel ke atas kem pelarian Jabalia, mendakwa Israel mensasarkan seorang komander kanan Hamas.

Hecht mempertahankan pembunuhan beramai-ramai itu.

“Tetapi anda tahu bahawa terdapat ramai pelarian, ramai orang awam yang tidak bersalah – lelaki, wanita dan kanak-kanak – di kem pelarian itu juga, bukan?” Blitzer bertanya kepada Hecht.

“Ini adalah tragedi perang, Wolf. Kami seperti yang anda tahu, kami telah menyuruh selama beberapa hari, bergerak ke selatan. Orang awam yang tidak terlibat dengan Hamas, sila bergerak ke selatan,” jawab Hecht.

Jabalia menempatkan keluarga pelarian daripada peperangan dengan Israel sejak tahun 1948. Ia adalah rumah kepada 116,000 orang di kawasan seluas 1.4 kilometer persegi — kira-kira saiz Hyde Park di London.

‘Mengangkat jenazah kanak-kanak…’

Ragheb Aqal, seorang penduduk Jabalia, menyifatkan serangan itu sebagai “gempa bumi” yang menggegarkan seluruh kem pelarian.

“Saya pergi dan melihat kemusnahan… ramai tertimbus di bawah runtuhan,” kata lelaki berusia 41 tahun itu.

Mesir mengecam serangan israel yang tidak berperikemanusiaan terhadap blok kediaman. Sumber berkata Kaherah akan membuka lintasan Rafah untuk merawat rakyat Palestin yang cedera.

Qatar, pengantara utama dalam krisis itu, mengutuk serangan Israel ke atas Jabalia dan memberi amaran serangan ke atas wilayah Palestin akan menggugat usaha pembebasan tebusan.

Presiden Palestin berkata jenayah dan kekejaman Israel tidak akan mematahkan tekad rakyat Palestin.

“Sebaliknya, mereka bertekad untuk menegakkan hak mereka, menentang penjajahan, menubuhkan negara merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya, dan memastikan hak pulang untuk pelarian.”

Terdahulu pada hari Selasa, Kementerian Kesihatan di Gaza berkata 8,525 orang telah terbunuh sejak Israel melancarkan kempen pengebomannya pada 7 Oktober.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah menolak gesaan yang semakin meningkat untuk gencatan senjata, mengatakan ia akan menjadi “kelebihan” kepada Hamas.

Sekatan Israel juga telah memutuskan Gaza daripada bekalan bahan api, elektrik dan air, dan mengurangkan penghantaran bantuan yang tidak dapat memenuhi keperluan kira-kira 2.3 juta rakyat Palestin di sana.

SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI

 

Related Articles

Back to top button