
JOHOR BAHRU: Tepat 12 tengah malam tadi, ramai rakyat Malaysia yang teruja dan gembira menantikan detik pembukaan semula Tambak Johor, dan pernah disifatkan sebagai antara laluan darat tersibuk di dunia.
Kelihatan ramai orang berjalan kaki dari arah Kompleks Kastam dan Imegresen (CIQ) Singapura menuju ke Malaysia sebelum menjelang detik 12 tengah malam, menyebabkan ramai yang sedang menunggu bersorak kegembiraan.
Rata- rata penduduk yang berkumpul di R&F Mall melaungkan “Welcome back” dan “Selamat kembali ke Malaysia” yang berdekatan dengan Tambak Johor, serta disambut dengan percikan bunga api.
Tambak Johor dan Lebuhraya Linkedua, yang sepi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali ‘bernyawa’ selepas hampir dua tahun, dengan pembukaan sempadan negara bermula hari ini.
Orang ramai berkumpul di sekitar Bandaraya Johor Bahru bagi menunggu ketibaan ahli keluarga mereka dari Singapura dan ada juga yang hadir hanya untuk merasai detik dan turut merasai suasana yang sangat meriah.
Tinjauan mendapati, kenderaan membunyikan hon selain penumpang bersorak kegembiraan apabila kenderaan yang keluar dari arah Singapura.
Mohd Fauzan Hafizi Rosli, 33, yang bekerja sebagai seorang juruteknik di republik itu sejak empat tahun lepas, menitiskan air mata sebaik ditanya mengenai perasaannya dapat kembali ke tanah air.
Pemuda berasal dari Kota Tinggi itu berkata, beliau akhirnya dapat melepaskan kerinduan, selepas dua tahun tidak dapat bertemu anak dan isteri.
“Isteri tidak tahu pun saya balik, buat kejutan untuk dia, harap menjadilah kejutan saya ini, sudah lama saya tidak dapat berjumpa keluarga.
“Terima kasih buat kerajaan Malaysia dan Singapura, yang menjayakan pembukaan sempadan ini,” katanya ketika ditemui di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di sini.
Mohd Fauzan berkata, kepulangan rakyat Malaysia yang bermula hari ini, lebih manis apabila umat Islam hampir menyambut bulan Ramadan.
“Dah dua tahun beraya di negara orang, rasa sebak ada, terharu pun ada…tidak tahu macam mana hendak berjumpa dengan isteri dan anak,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, pada 25 Mac memaklumkan kedua-dua negara bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi mulai 1 April, selaras dengan fasa peralihan ke endemik.
Malaysia dan Singapura juga akan membenarkan pengembara yang telah lengkap vaksinasi, untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan ketika ketibaan.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today