Pembetulan maklumat dokumen pengenalan diri dibenarkan – JPN
Pemohon perlu kemukakan dokumen sokongan sebagai bukti berlaku kesilapan
KUALA LUMPUR – Pembetulan maklumat dalam dokumen kelahiran sama ada dalam sijil atau kad pengenalan boleh dimohon sekiranya terdapat maklumat tidak tepat atau meragukan.
Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pemohon yang mahu melakukan pembetulan sama ada nama atau tarikh dan tempat kelahiran perlu mengemukakan dokumen sokongan bagi membuktikan berlaku kesilapan fakta dalam pendaftaran sebelum ini bagi dipertimbangkan oleh jabatan itu.
Bagaimanapun, sebarang perubahan maklumat dalam dokumen pengenalan dikhuatiri akan memberi kesan kepada pemohon antaranya dalam urusan perbankan, pendidikan dan kesihatan.
“JPN hanya mengendalikan isu yang di bawah bidang kuasa JPN sahaja seperti sijil lahir dan kad pengenalan. Namun, sekiranya pihak berkaitan memerlukan pengesahan berkenaan maklumat dokumen pengenalan diri subjek, JPN sedia memberikan kerjasama,” – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
JPN mengeluarkan kenyataan itu susulan laporan pada Ahad lepas tentang tiga bayi perempuan termasuk sepasang kembar yang dilahirkan 20 tahun lepas tertukar dipercayai akibat kecuaian kakitangan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.
Kejadian itu disedari selepas ketiga-tiga mangsa, Adryani Iwani, ‘kembarnya’ Adryana Irwani, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada September tahun lepas.
Sementera itu, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata kesilapan tertukar bayi dengan keluarga lain sehingga seseorang individu dibin atau dibintikan kepada bapa angkat, dari segi hukum agama wajib ditukar kepada bin atau binti bapa kandung bagi memastikan tiada isu berbangkit, terutama berkaitan pembahagian pusaka.
JPN sebelum ini banyak menerima permohonan untuk pembetulan melibatkan pelbagai maklumat pada dokumen pengenalan diri termasuklah penukaran bin atau binti (nasab) namun tiada statistik khusus berkenaan hal tersebut.
– Sinar Harian
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar