Semasa

Pembentukan awan ribut petir akan melanda negara – MetMalaysia

Tiupan angin lemah pelbagai hala dari 27 hingga 30 Ogos ini

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menerima tiupan angin lemah pelbagai hala dari 27 hingga 30 Ogos ini yang berpotensi menyebabkan pembentukan awan ribut petir terutama pada sebelah petang sehingga malam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan antara kawasan terlibat adalah negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, Sarawak (tengah dan utara), barat Sabah serta Labuan.

Menurut kenyataan MetMalaysia itu lagi, fenomena berkenaan dikesan berdasarkan analisis Model Penyelidikan dan Ramalan Cuaca MetMalaysia (MET-WRF), Pusat Ramalan Cuaca Julat-Sederhana Eropah (ECMRWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).

Sehubungan itu, MetMalaysia menasihatkan orang awam supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial agensi itu serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Amaran ribut petir turut dikeluarkan beberapa jam yang lalu. Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Johor,  Sarawak sehingga 9:00 pagi Khamis.

Difahamkan, Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button