DomestikSemasa

Pemansuhan sekatan Covid-19 mudahkan lagi urusan jemaah

Kuala Lumpur –  Berikutan penarikan sekatan berkaitan Covid-19 yang diumumkan kerajaan Arab Saudi, baru-baru ini, kerajaan Malaysia berharap lebih ramai umat Islam dapat menunaikan ibadat umrah dan haji pada tahun ini dan masa akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad berkata, demi melakukan yang terbaik untuk keselamatan dan kesihatan jemaah umrah dan haji, Malaysia terutama dari pihaknya, akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi.

“Kerajaan Arab Saudi tentunya telah menilai pelbagai aspek dan semua protokol kesihatan sejak wabak Covid-19 melanda dunia dua tahun lalu sebelum menarik balik sekatan tersebut, sejajar dengan situasi pandemik yang bertambah baik di negara itu.

“​Pada masa yang sama, kerajaan Arab Saudi pastinya telah membuat persiapan rapi berpandukan amalan terbaik pengendalian antarabangsa demi menjaga keselamatan rakyatnya dan jemaah umrah serta haji yang datang dari seluruh pelosok dunia,” katanya dalam kenyataan.

Pada Rabu, Bernama melaporkan Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan pemansuhan semua sekatan Covid-19, termasuk kuarantin wajib bagi semua pengunjung ke negara itu.

Menerusi catatan di akaun Twitter rasminya pada Isnin, sekatan yang dimansuhkan termasuk penyerahan sijil vaksinasi Covid-19 dan ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata (PCR), sebelum atau semasa ketibaan di Arab Saudi.

-Agensi

Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button