DomestikSemasa

Peluang cuti hujung minggu terisi dengan pemeriksaan kesihatan percuma Mobile Clinic MAIWP-MAPIM

PUTRAJAYA : Festival Floria Putrajaya 2022 semakin hampir melabuhkan tirainya. Mobile Clinic anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) masih terus beroperasi pada hujung minggu ini.

Sudah pasti, pada waktu cuti ini orang ramai akan mengambil peluang hadir ke festival ini bersama keluarga bagi menikmati keindahan lebih 10,000 pokok orkid dan 400,000 tanaman pelbagai spesies yang dipamerkan di situ.

Sementara itu, pengunjung tidak kira peringkat umar juga mengambil kesempatan mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma mobile clinic MAIWP-MAPIM di festival yang berlangsung di Anjung Floria, Presint 4 itu.

Menurut seorang pengunjung yang hadir, Mazlan Muhammad, 47, dia amat berpuas hati dengan layanan mesra dan penerangan yang jelas mengenai tahap kesihatannya oleh doktor yang bertugas pada hari ini.

Pengunjung Mobile Clinic MAIWP-MAPIM – Mazlan Muhammad, 47,

“Alhamdulillah, hari ini saya dapat peluang untuk mendapatkan pemeriksaan percuma mobile clinic MAIWP-MAPIM ini, penerangan daripada doktor sangat jelas dan banyak maklumat-maklumat baru yang saya peroleh berkenaan penjagaan kesihatan.

“Terima kasih kepada MAIWP dan MAPIM atas perkhidmatan yang disediakan di Festival Floria Diraja Putrajaya ini, semoga usaha ini kekal diteruskan dan berharap kita dapat berjumpa lagi,” katanya ketika ditemu bual Ummah Today.

Seramai 237 pengunjung mobile clinic direkodkan sepanjang hujung minggu ini dan rata-ratanya memberikan respon positif tentang servis yang disediakan, malah ubat-ubatan juga adalah percuma.

Dua orang doktor telah bertugas sejak hari pertama berlangsungnya program ini serta dibantu oleh 9 sukarelawan bagi melancarkan lagi segala gerak kerja.

Dalam pada itu, Perbadanan Putrajaya (PPj) memutuskan bagi melanjutkan penganjuran Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya selama dua hari lagi sehingga 6 September ini.

Perkara itu diputuskan susulan sambutan menggalakkan daripada pengunjung selain mengambil kira musim cuti sekolah.

Oleh yang demikian, masih belum terlambat lagi untuk orang ramai menggunakan perkhidmatan mobile clinic MAIWP-MAPIM ini yang turut akan dilanjutkan sehingga Selasa ini.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button