Semasa

Pelancaran DAN 2.0 bantu kembangkan sektor agromakanan negara

PETALING JAYA – Kerajaan akan melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dalam usaha  mentransformasi sektor agromakanan kepada sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, DAN 2.0  mampu melonjakkan sektor agromakanan ke satu dimensi yang lebih kompetetif dan efektif, bermula daripada aktiviti pengeluaran, lepas tuai, pemborongan, peruncitan dan pengedaran, serta membolehkan ia berkembang dengan lebih pantas dan memberi pulangan yang lumayan.

“DAN 2.0 dapat mentransformasikan kepada sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

“Memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan,” katanya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Ke-46 secara maya hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, golongan peladang, penternak dan nelayan perlu membawa teknologi moden ke dalam sektor agromakanan negara.

Menurut beliau, ia sebagai langkah mentransformasi sektor berkenaan dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Jelasnya, langkah itu akan melonjakkan sektor agromakanan ke satu dimensi yang lebih kompetetif dan efektif.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button