Pelajar USM cipta beg mini daripada sampah kulit limau
Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah
Platform medsos : https://linktr.ee/UmmahToday
KUALA LUMPUR : Siapa sangka kulit buah limau boleh dijadikan sebagai pembungkus beg set produk penjagaan kulit wajah sekaligus mampu mengambil alih penggunaan plastik di pasaran.
Hebat dan membanggakan seorang mahasiswi Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menempah nama di persada dunia apabila mencipta sebuah beg pembungkus dengan hanya menggunakan sampah kulit limau.
Produk material bio leather hasil ciptaan Menlin Ng Aniathul Fitria Ismail Ng Abdullah itu menggunakan sepenuhnya kulit buah-buahan sitrus terutama kulit limau nipis dan bahan semula jadi lain yang bersifat lebih mesra alam.
Biarpun, produk daripada 100 peratus bahan semula jadi ini masih berada di peringkat kajian awal, tetapi telah mengharumkan nama negara apabila memenangi tempat kedua dalam pertandingan reka bentuk antarabangsa James Dyson Awards 2021 baru-baru ini.
Bercakap kepada Bernama, gadis berusia 24 tahun ini berkongsi cerita bagaimana beliau mendapat ilham iaitu apabila melihat lambakan sampah kulit buah-buahan di kafe dan restoran semasa menyiapkan projek semester sekitar tahun lepas.
“Saya percaya semua sisa makanan boleh diproses menjadi bahan atau barangan berguna sekali gus dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar, saya mahu menukarkan bahan yang dilihat tidak bernilai ini menjadi barangan berguna dan berharga.
“Selain membantu mengurangkan penjanaan sampah, material bio-leather yang menggunakan bahan semula jadi sepenuhnya ini juga melibatkan kos lebih rendah,” katanya yang mengambil masa 10 bulan bagi menyiapkan projek tersebut.
Dalam ujian yang dijalankan, Menlin menggunakan kira-kira 30 kulit limau purut bagi menghasilkan dua helai material berukuran 20 sentimeter panjang dan lebar.
“Saya mendapatkan stok kulit limau dari beberapa restoran. Antara proses terlibat termasuk pengekstrakan, pengasingan kulit dan biji buah, rebus bagi mengelakkan kulat dan mencampurkan dengan bahan pelekat semula jadi sebelum dikeringkan sehingga menjadi produk akhir,” katanya.
Tambah beliau, projek tersebut turut menekankan kepada eksperimen mencari bahan gam semula jadi yang sesuai dan terbaik antaranya tepung ubi, selain lilin lebah yang digunakan bagi menjadikan material lebih tahan lama dan mengelak pembentukan kulat.
Anak kelahiran Sabah ini turut membuktikan material yang digunakan lebih praktikal dengan mereka bentuk sampel pembungkusan beg mini produk penjagaan kulit dinamakan ‘Citra’ yang lebih mudah dibawa, ringkas dan elegan.
Menlin Ng menyifatkan kekangan menjalankan ujian di makmal susulan sekatan pergerakan dan penularan pandemik COVID-19 menjadi cabaran utama dalam pembikinan beg mini ini.
Pelajar jurusan Reka Bentuk Produk itu juga berharap inovasi yang masih di peringkat penyelidikan awal itu dapat dikembangkan dan dimanfaatkan di peringkat profesional sekali gus membuka jalan kepada penghasilan material mesra alam.
“Saya perlu membuat lebih banyak kajian dan eksperimen bagi mendapatkan bahan terbaik dalam meningkatkan kualiti material ini pada masa akan datang.
“Malaysia adalah antara pengeksport buah dan sayur terbesar. Jadi secara tidak langsung, menyumbang kepada penghasilan sampah yang boleh dijadikan sumber kepada penghasilan produk pembungkusan daripada material semula jadi,” katanya.
BERNAMA
Nurshazlin Shahrom